Buat ujian Covid-19 lebih awal sebelum ke terminal feri

Orang ramai yang mahu mendapatkan perkhidmatan di Terminal Feri Kuala Kedah perlu melalui proses pemeriksaan ketat oleh pihak berkuasa sebelum dibenarkan berlepas ke Langkawi.
Orang ramai yang mahu mendapatkan perkhidmatan di Terminal Feri Kuala Kedah perlu melalui proses pemeriksaan ketat oleh pihak berkuasa sebelum dibenarkan berlepas ke Langkawi.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis menasihatkan pelancong ataupun orang ramai yang mahu ke Langkawi agar membuat ujian saringan Covid-19 lebih awal bagi mengelakkan kesesakan berlaku di Terminal Feri Kuala Kedah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superitendan Mohd Redzuan Salleh berkata, ujian yang boleh dilakukan dalam tempoh 48 jam itu dapat mempercepatkan proses mereka kerana disediakan laluan khas untuk menaiki feri di terminal tersebut.

Menurutnya, pada hari pertama operasi terminal feri Kuala Kedah pada Khamis, pihaknya mendapati hanya 59 individu yang telah membuat ujian saringan Covid-19 lebih awal dan selebihnya melakukan ujian saliva di kaunter yang disediakan di terminal tersebut.

"Kita meminta kepada mereka yang mahu ke Langkawi agar dapat datang lebih awal dan kalau boleh membuat ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) dalam tempoh 48 jam supaya perjalanan mereka untuk memasuki terminal tidak terganggu.

"Pihak di terminal telah menyediakan laluan khas untuk mereka yang telah menjalani ataupun mempunyai keputusan RTK-Ag dan turut menyediakan perkhidmatan menjual kit ujian untuk membuat ujian di sini," katanya semasa membuat tinjauan hari pertama Op Gelembung Pelancongan Langkawi di Terminal Jeti Kuala Kedah pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata, pihaknya bersama Jabatan Kesihatan Daerah Kota Setar dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) membuka kaunter tiga jam lebih awal sebelum feri berlepas.

Jelasnya, prosedur operasi standard (SOP) tersebut akan dilaksanakan di terminal feri sehingga ada pengumuman terbaharu daripada pihak kerajaan berhubung gelembung pelancongan ke Langkawi.

Artikel Berkaitan:

Kaunter saringan status kesihatan turut disediakan di Terminal Feri Kuala Kedah bagi mereka yang belum membuat ujian saringan Covid-19 untuk ke Langkawi.
Kaunter saringan status kesihatan turut disediakan di Terminal Feri Kuala Kedah bagi mereka yang belum membuat ujian saringan Covid-19 untuk ke Langkawi.

"Sepanjang pemerhatian kami juga, rata-rata orang ramai ataupun pelancong dilihat memahami SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi mereka yang mahu ke Langkawi," ujarnya.

Terminal Feri Kuala Kedah yang menyediakan perkhidmatan feri ke Pulau Langkawi kembali beroperasi bermula Khamis selepas ditutup dua minggu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Kedah sejak 6 September lalu.