Tiada lagi walk-in vaksin remaja di Perak

Ahmad Saidi (kanan) ketika meninjau pelaksanaan program Vaksin Anakku di SMKA Sultan Azlan Shah pada Khamis.
Ahmad Saidi (kanan) ketika meninjau pelaksanaan program Vaksin Anakku di SMKA Sultan Azlan Shah pada Khamis.
A
A
A

SERI ISKANDAR - Pemberian vaksin secara secara tanpa janji temu bagi program Vaksin Anakku melibatkan remaja sekolah di semua pusat pemberian vaksin (PPV) atau sekolah di Perak tidak lagi dilaksanakan mulai Khamis bagi mengelakkan kesesakan orang ramai.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, sebaliknya pemberian vaksin itu akan dilaksanakan melalui janji temu yang ditetapkan menerusi aplikasi MySejahtera portal Vaksin Anakku.

Menurutnya, pelajar yang telah mendaftar akan diminta hadir ke lokasi vaksinasi ditetapkan mengikut masa dan tarikh ditetapkan di dalam aplikasi atau portal berkenaan.

"Kita ada menerima maklumat daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mana bermula hari ini program Vaksin Anakku ini untuk 'walk-in' ditutup. Maksudnya, semua yang hadir ke sekolah atau PPV yang telah ditetapkan untuk menerima suntikan vaksin adalah pelajar yang telah mengisi sama di dalam aplikasi MySejahtera atau portal Vaksin Anakku.

"Jadi yang hadir menerima vaksin mulai hari ini adalah mereka yang menerima janji temu yang telah ditentukan lokasi, tarikh dan masa melalui aplikasi tersebut," katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan program Vaksin Anakku di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Azlan Shah di sini pada Khamis.

Mengenai program Vaksin Anakku di Perak, Ahmad Saidi berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan khususnya dalam kalangan ibu bapa.

Menurutnya, sejak bermula pada 20 hingga 22 September lalu, seramai 13,727 pelajar di negeri ini telah menerima satu dos vaksin di 41 pusat vaksin yang disediakan.

"Sambutan daripada ibu bapa di Perak sangat menggalakkan dan di luar jangka. Malahan ada ibu bapa yang hadir di kawasan sekolah dan PPV untuk bertanyakan sama ada anak mereka boleh didaftarkan pada waktu itu.

Artikel Berkaitan:

"Ini menunjukkan kesungguhan ibu bapa untuk memastikan anak mereka menerima suntikan bagi menjamin keselamatan ahli keluarga menjelang pembukaan sekolah nanti," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada warga pendidik yang menjadi sukarelawan bagi program Vaksin Anakku selain ucapan terima kasih kepada KKM, Jabatan Kesihatan Negeri Perak dan Jabatan Pendidikan Perak yang turut sama di dalam program berkenaan.