Kabinet perinci isu ibu Malaysia yang anak tidak dapat kerakyatan esok

Saifuddin. - Foto Bernama
Saifuddin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Kabinet esok dijangka memperincikan langkah-langkah berhubung isu ibu warganegara Malaysia yang anak mereka dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan dengan rakyat asing tidak mendapat kerakyatan kerana tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan membolehkannya.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, dalam isu ini pokok pangkalnya kerajaan bersedia untuk melihat secara terperinci dari segi dasar berkaitan hal ini untuk membantu menyelesaikan masalah ini dengan cara yang sebaik-baiknya.

“Kabinet telah memutuskan supaya mesyuarat esok mengundang Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun untuk memberikan nasihat tentang cara bagaimana kita harus selesaikan.

“Ia (isu itu) mendapat sambutan yang sangat positif daripada rakan-rakan Kabinet. Perkara ini merupakan isu yang sangat serius. Ia adalah isu diskriminasi dan hak asasi manusia,” katanya kepada pemberita selepas menerima petisyen dan surat terbuka kepada Kabinet dari Family Frontiers Malaysia di luar Parlimen pada Khamis.

Beliau berkata, perkara itu telah dibawa dalam mesyuarat Kabinet minggu lepas oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Saifuddin berkata, semalam Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika menggulung perbahasan kementeriannya di Dewan Rakyat telah menyebut dengan jelas bahawa kerajaan akan merujuk perkara ini kepada Majlis Raja-Raja dengan hasrat melaksanakan pindaan Perlembagaan.

“Ini kerana di bawah Perlembagaan, hal ehwal kerakyatan itu membabitkan perkenan daripada Majlis Raja-Raja,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan Kabinet menasihati Peguam Negara untuk menarik balik rayuan itu esok, Saifuddin berkata, Peguam Negara adalah penasihat kepada kerajaan dan mereka akan membincangkan aspek teknikal esok.

Artikel Berkaitan:

Pada 9 September lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bayi dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing secara automatik berhak mendapat kerakyatan negara ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir memutuskan perkataan ‘bapa’ dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan perlu bermaksud dan termasuk ibu.

Bagaimanapun pada 13 September lepas, kerajaan memutuskan untuk mengemukakan rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Family Frontiers merupakan pertubuhan bukan kerajaan yang membela ibu-ibu yang terkesan dengan undang-undang kewarganegaraan berkenaan menerusi kempen #TarikBalikRayuan. - Bernama