Pengarah syarikat mengaku salah beri rasuah, didenda RM70,000

Tertuduh (dua dari kanan) didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memberi rasuah kepada dua pegawai penguat kuasa KPDNHEP Februari tahun lalu.
Tertuduh (dua dari kanan) didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memberi rasuah kepada dua pegawai penguat kuasa KPDNHEP Februari tahun lalu.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMASKINI] Seorang pengarah syarikat didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memberi rasuah kepada dua pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Februari tahun lalu.

Denda itu dikenakan oleh Hakim Madihah Harullah selepas tertuduh, Wong Yeng Fart, 49, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan pilihan dikemukakan kepadanya

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan, bagaimanapun tertuduh membayar denda yang dikenakan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh secara rasuah memberi wang tunai RM100,000 kepada dua individu iaitu seorang penolong pegawai penguat kuasa dan seorang pegawai penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan yang bertugas di Unit Kawalan Bekalan, Seksyen Penguat kuasa sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap semua pemilik Syarikat Viss Motor Parts Sdn Bhd yang melakukan kesalahan mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

Perbuatan itu dilakukan pada 4 Februari tahun lepas, lebih kurang jam 11.30 pagi di sebuah restoran di Seremban 2, di sini.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 10 tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh diwakili Peguam KF Wong & Lee.

Artikel Berkaitan: