X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

Kampung Tanjung Buah-Buahan jadi 'pulau'

Keadaan banjir di Kampung Buah-Buahan kampung Kuantan di sini pada Khamis.
A
A

KUALA SELANGOR - Kampung Tanjung Buah-Buahan di sini seakan menjadi pulau apabila air dari Sungai Selangor melimpah masuk ke dalam rumah penduduk dalam kejadian banjir pada Selasa.

Seorang penduduk, Nur Hashimah Mohd Idris, 48, berkata, kejadian banjir yang mula melanda kampung itu pada malam Selasa dianggap antara terburuk sepanjang dia menetap di kampung berkenaan.

"Kalau tengok keadaan kampung kami sudah bertukar menjadi pulau apabila banyak rumah penduduk ditenggelami air.

"Rumah saya antara paling awal dinaiki air kerana terletak berhampiran sungai dan di kawasan rendah," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Abdul Aziz, Kampung Kuantan di sini pada Khamis.

Menurut Nur Hashimah, keadaan banjir bertambah teruk pada malam Selasa dan mereka sekeluarga dipindahkan ke PPS.

Katanya, dia yang tinggal bertiga bersama suaminya, Mohd Haidzir Idris, 48, dan anak bongsu mereka, Nurul Izzah, 14, terpaksa meredah banjir sedalam setengah meter kira-kira jam 11 malam.

"Keadaan itu amat menakutkan dan kami sekeluarga terpaksa mengharungi banjir dalam keadaan kesejukan sambil memegang tangan antara satu sama lain.

"Ketika itu, saya tidak berhenti berdoa supaya kami semua selamat, lebih-lebih lagi mengharungi banjir dalam keadaan gelap," katanya.

Nur Hashimah (kiri) dan anaknya Nurul Izzah terpaksa mengharungi banjir seakan pulau yang melanda rumah mereka di Kampung Buah-Buahan kampung Kuantan di sini.
Nur Hashimah (kiri) dan anaknya Nurul Izzah terpaksa mengharungi banjir seakan pulau yang melanda rumah mereka di Kampung Buah-Buahan kampung Kuantan di sini.

Seorang lagi penduduk, Absah Abu Hassan, 67, berkata, air naik dengan cepat dan dia yang tinggal bersendirian segera menyelamatkan pelbagai barangan penting sebelum berpindah ke PPS pada pagi Rabu.

"Selalunya, banjir cepat surut tetapi kejadian kali ini amat teruk hingga memaksa kami berpindah segera," katanya.

Sementara itu, Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor, Leftenan (PA) Maizura Suradi berkata, sehingga kini sebanyak empat daripada lima PPS dibuka di daerah itu pada Khamis.

Menurutnya, sebuah PPS SK Rantai Panjang sudah ditutup sepenuhnya pada jam 12.30 tengah hari Rabu.

"Empat PPS masih dibuka iaitu di SK Pasangan, SK Parit Mahang, SK Sultan Abdul Aziz, Kampung Kuantan dan SK Bukit Belimbing," katanya.

Katanya, sehingga kini seramai 137 mangsa daripada 45 keluarga dipindahkan di PPS setakat jam 3 petang.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!