Maqis rampas 108kg herba Cina

Herba cina jenis Yushania Qiaojiaensis seberat 108kg yang dianggarkan bernilai RM2,484 dirampas di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth (NBCT) pada Rabu.
Herba cina jenis Yushania Qiaojiaensis seberat 108kg yang dianggarkan bernilai RM2,484 dirampas di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth (NBCT) pada Rabu.
A
A
A

BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas 108 kotak herba Cina yang dibawa masuk dari China di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth (NBCT) di sini pada Rabu.

Pengarah Maqis Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, barang dagangan seberat 108 kilogram (kg) itu dirampas kerana tidak mempunyai permit import yang dikeluarkan oleh Maqis.

Menurutnya, penemuan produk herba Cina itu hasil pemeriksaan anggotanya terhadap sebuah kontena di tapak pemeriksaan kastam NBCT kira-kira jam 3.50 petang.

"Pemeriksaan rutin yang dilakukan itu membawa kepada rampasan herba Cina jenis Yushania Qiaojiaensis seberat 108kg yang dianggarkan bernilai RM2,484.

"Kegagalan mengemukakan permit import Maqis yang sah adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Pegawai Maqis melakukan pemeriksaan kontena yang membawa herba Cina.
Pegawai Maqis melakukan pemeriksaan kontena yang membawa herba Cina.

Muhammad Ikram berkata, jika disabitkan kesalahan pihak yang bertanggungjawab atas barang dagangan itu boleh dihukum denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk melakukan penguatkuasaan di semua pintu masuk negara bagi memastikan komoditi haiwan, pertanian dan ikan yang masuk atau keluar dari negara ini mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Artikel Berkaitan: