Dijangkiti Covid-19, kencing tikus selepas riadah di Ulu Bendul

Kawasan Eko Rimba Ulu Bendul.
Kawasan Eko Rimba Ulu Bendul.
A
A
A

KUALA PILAH - Penularan wabak Covid-19 dan jangkitan virus lain dikesan selepas terdapat segelintir pengunjung kawasan rekreasi Taman Eko Rimba Ulu Bendul yang membuang sampah dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika berkunjung di lokasi itu minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Kuala Pilah, Mohd. Faizal Abdul Manap berkata, ia melibatkan 13 kes jangkitan, dua daripadanya positif Covid-19 dikesan di Wad Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban di sini dan didakwa mempunyai sejarah pergerakan ke lokasi berkenaan.

"Selain itu, terdapat juga 11 kes melibatkan pesakit mempunyai sejarah pergerakan ke Ulu Bendul yang dikesan mengalami gejala demam, cirit-birit, muntah, sakit badan dan lain-lain.

"Daripada jumlah tersebut, dua kes melibatkan penyakit kencing tikus dan satu kes rotavirus manakala bakinya sebanyak lapan kes masih menunggu keputusan ujian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Katanya, kesemua pesakit tersebut kini dirawat di beberapa hospital termasuk HTJ, Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) dan Hospital Port Dickson.

"Pengunjung kawasan rekreasi Taman Eko Rimba Ulu Bendul dipohon supaya menjaga kebersihan kawasan jeram, kolam dan air terjun.

"Buanglah sampah di tempat yang sepatutnya. Kebersihan tempat ini perlu dijaga bagi mengelakkan masalah kesihatan dan masalah lain di kemudian hari.

"Kakitangan Unit Pembersihan Majlis Daerah Kuala Pilah dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah mengambil inisiatif membersihkan kawasan tersebut daripada sampah-sarap yang ditinggalkan oleh pengunjung," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sejak Rabu, tular di media sosial mengenai dakwaan terdapat beberapa pengunjung termasuk kanak-kanak di Taman Eko Rimba Ulu Bendul dikesan mengalami cirit-birit, muntah, sakit badan dan lain-lain selepas mengunjungi kawasan rekreasi itu pada 17 September lepas.