X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

Jangan pasang khemah di pesisir tasik Putrajaya

Aktiviti pemasangan khemah tidak dibenarkan di sekitar kawasan pesisir tasik Putrajaya dan tindakan akan diambil jika ingkar.
A
A

PUTRAJAYA - Aktiviti pemasangan khemah tidak dibenarkan di sekitar kawasan pesisir tasik Putrajaya dan tindakan akan diambil jika ingkar.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain berkata, tapak perkhemahan yang dibenarkan di Putrajaya pada masa ini hanya di Taman Wetland yang mempunyai kemudahan lengkap.

"Aktiviti perkhemahan tidak dibenarkan di sepanjang tasik. Penguat kuasa PPj akan pastikan tiada pemasangan khemah oleh keluarga atau kumpulan tertentu di sepanjang tasik secara teguran.

“Sekiranya perkara ini tidak dapat dikawal, dari segi peruntukan kita boleh denda mana-mana individu atau kumpulan yang memasang khemah di tepian tasik atau kawasan awam," katanya kepada Bernama pada Khamis.

Susulan peralihan ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara bermula 10 Oktober lepas yang membenarkan rentas daerah di Lembah Klang, Putrajaya 'diserbu' terutama pada hujung minggu untuk aktiviti riadah. Malah Putrajaya menjadi tular (viral) sebagai tempat tumpuan memasang khemah di tepian tasik.

Muhammad Azmi berkata, tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab dengan memasang khemah dan menguar-uarkan aktiviti tersebut seolah-olah dibenarkan di pesisir tasik Putrajaya akan mengundang perkara yang tidak diingini seperti keselamatan, kebersihan, ketenteraman awam, kesesakan serta menjejaskan pergerakan aktiviti riadah lain seperti berjoging dan berbasikal.

"Kami mengalu-alukan orang ramai datang bersiar-siar serta menikmati keindahan tasik namun perlu diingatkan bahawa tepian tasik atau mana-mana tempat awam adalah untuk kegunaan semua orang dan bukannya diduduki sekelompok kumpulan atau keluarga tertentu kerana tindakan itu bukan sahaja menghalang pengunjung lain tetapi dikhuatiri menjejaskan kualiti air tasik," katanya.

Menyedari aktiviti perkhemahan makin digemari masyarakat, beliau berkata PPj sedang mengenal pasti tapak-tapak perkhemahan yang sesuai di Putrajaya untuk dikhususkan sebagai tempat aktiviti perkhemahan.- Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!