Kelantan benar akad nikah secara bersemuka

Kelantan membenarkan majlis akad nikah dijalankan di premis persendirian atau masjid secara bersemuka tanpa sebarang sentuhan berkuat kuasa serta-merta. Gambar hiasan
Kelantan membenarkan majlis akad nikah dijalankan di premis persendirian atau masjid secara bersemuka tanpa sebarang sentuhan berkuat kuasa serta-merta. Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan membenarkan majlis akad nikah dijalankan di premis persendirian atau masjid secara bersemuka tanpa sebarang sentuhan berkuat kuasa serta-merta.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik), Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berkata, majlis akad nikah yang dijalankan tidak melebihi 30 minit dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Beliau berkata, kehadiran semasa majlis akad nikah dibenarkan tidak melebihi 10 orang yang telah lengkap divaksin termasuk pasangan pengantin, jurunikah/imam, wali pengantin perempuan dan saksi.

“Bagi pasangan dan wali pengantin perempuan yang belum lengkap divaksin diwajibkan menjalani ujian saringan pengesanan jangkitan Covid-19 sama ada ujian pantas (RTK) antigen, ujian reaksi berantai polimerase (PCR) ataupun ujian kendiri selewat-lewatnya dua hari sebelum majlis akad nikah dijalankan.

“Keputusan ujian kendiri hendaklah dikemas kini dalam aplikasi MySejahtera,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Che Mohd Rahim berkata, wali pengantin perempuan boleh membuat permohonan wakalah wali sekiranya mengalami keuzuran untuk hadir di majlis akad nikah.

“Hanya jurunikah atau imam yang telah lengkap divaksin sahaja boleh mengakad nikah pasangan tersebt.

Bagi imam atau jurunikah yang belum melengkapi vaksin, pasangan boleh memohon untuk diakad nikah oleh imam atau jurunikah mukim bersebelahan yang telah lengkap divaksin,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, majlis akad nikah boleh dibatalkan jika melanggari mana-mana perkara dan peruntukan yang telah ditetapkan.

“Apa-apa arahan dan ketetapan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah terpakai.

Semua arahan pentadbiran yang telah dikeluarkan sebelum ini adalah terbatal,” katanya. - Bernama