Mahasiswa desak KPT kaji wajibkan pengambilan vaksin

Wan Abdullah Shahir dan Alif Mustaqim
Wan Abdullah Shahir dan Alif Mustaqim
A
A
A

PUTRAJAYA - Sekumpulan pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) mendesak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengkaji semula polisi mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 terhadap mahasiswa dan kakitangan bagi pembukaan semula kampus mulai Oktober depan.

Pengerusi Pergerakan Pelajar Malaysia (MSM), Alif Mustaqim berkata, arahan yang dikeluarkan Menteri KPT, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad baru-baru ini tidak mempunyai asas.

"Tidak ada undang-undang bertulis yang menyatakan mewajibkan pengambilan vaksin," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada KPT di sini pada Khamis.

Menurutnya, vaksin Covid-19 yang sedang diguna-pakai pada masa ini tidak mampu menghalang transmisi penularan jangkitan wabak berkenaan.

"Faktor yang menyebabkan seseorang itu menjadi penyebar Covid-19 adalah bebanan virus itu sendiri dan bukannya status vaksinasi," katanya.

Alif yang juga pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut mengakui beliau menolak untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19.

"Mereka yang telah divaksin juga boleh menyebarkan virus dan individu yang tidak divaksinasi juga mempunyai kebarangkalian sangat rendah untuk menyebarkan virus terbabit," katanya.

Sementara itu, seorang peguam syarie, Wan Abdullah Shahir yang juga penuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendakwa arahan KPT itu telah menafikan hak-hak kebebasan individu yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

"Arahan ini perlu dikaji semula kerana kami yakin ia bertentangan dengan prinsip yang di dokong Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Sebelum ini, Noraini mengumumkan penuntut IPTA dan IPTS akan kembali ke kampus masing-masing secara berperingkat bermula pada 15 Oktober depan dengan hanya individu termasuk kakitangan yang telah lengkap suntikan dos vaksin dibenarkan memasuki premis.