Terimaan pelancongan pada 2020 merosot 71.2 peratus

Mohd Uzir
Mohd Uzir
A
A
A

SHAH ALAM - Terimaan pelancongan negara pada 2020 merekodkan kemerosotan sebanyak 71.2 peratus iaitu daripada RM182.1 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM52.4 bilion.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, tahun lepas merupakan tahun kedua sumbangan pelancongan domestik kepada terimaan pelancongan negara mengatasi perbelanjaan dalam pelancongan 'inbound' dengan merekodkan 73.8 peratus.

Beliau berkata, pelancongan domestik menjana terimaan pelancongan sebanyak RM38.6 bilion dengan penyusutan sebanyak 58.3 peratus berbanding tahun 2019.

“Sementara itu, perbelanjaan pelancongan 'inbound' merosot dengan penurunan dua digit yang besar iaitu sebanyak 84.6 peratus dengan hanya merekodkan RM13.7 bilion.

“Pada masa sama, perbelanjaan 'outbound' mencatatkan penurunan sebanyak 61.7 peratus dengan jumlah RM 17.1 bilion,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, prestasi industri pelancongan sepanjang tahun 2020 telah menjana Nilai Ditambah Kasar Industri Pelancongan (GVATI) sejumlah RM199.4 bilion dengan sumbangan sebanyak 14.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Menurutnya, dari segi nilai, paras sumbangan itu dilihat berkurang sehingga menyamai prestasi direkodkan pada tahun 2015, susulan kawalan pengoperasian aktiviti ekonomi oleh kerajaan terhadap sektor pelancongan dalam mengawal penularan Covid-19.

“GVATI merekodkan penyusutan 17.1 peratus pada tahun 2020 berbanding pertumbuhan 9.1 peratus pada tahun sebelumnya,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohd Uzir,turut terjejas ialah sumbangan pelancongan langsung kepada ekonomi negara (TDGDP) yang mencatatkan penurunan sebanyak 72.0 peratus.

Beliau berkata, bagaimanapun guna tenaga dalam industri pelancongan merekodkan penyusutan pada kadar lebih rendah iaitu 2.9 peratus yang antara lain disumbangkan oleh inisiatif Subsidi Gaji dan Upah.

“Secara keseluruhan, sektor pelancongan pada tahun 2020 masih mampu menyerap tekanan tinggi daripada permintaan yang lemah.

“Penggunaan dalam aktiviti bukan pelancongan turut membantu menyederhanakan kesan penularan pandemik terburuk ini kepada ekonomi negara yang digambarkan melalui prestasi GVATI,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, World Tourism Organization (UNWTO) meramalkan sektor pelancongan kembali kepada prestasi pra-pandemik pada tahun 2024 dengan sebahagian besarnya dipacu aktiviti pelancongan domestik.

Merumuskan mengenai prospek sektor pelancongan negara, beliau berkata, industri pelancongan Malaysia harus terus memberi fokus kepada digitalisasi dan pengembangan produk serta infrastruktur pintar sebagai inisiatif untuk membangun masa depan yang lebih berdaya tahan dan lestari di Malaysia.

“Kemajuan dalam teknologi digital telah mempengaruhi cara orang melakukan perjalanan, serta penggiat industri pelancongan mengubah cara mereka beroperasi.

“Di samping itu, ini akan membina semula keyakinan melalui penjenamaan semula dan membangunkan rancangan komunikasi untuk menyampaikan mesej Malaysia sebagai destinasi perjalanan yang selamat dan dipercayai,” katanya.