Kontraktor ditahan perdaya bina rumah tidak wujud

Suspek ditahan untuk siasatan selepas disyaki memperdaya mangsa dalam urusan pembinaan rumah tidak wujud.
Suspek ditahan untuk siasatan selepas disyaki memperdaya mangsa dalam urusan pembinaan rumah tidak wujud.
A
A
A

BEAUFORT - Seorang kontraktor ditahan selepas disyaki memperdayakan seorang individu dalam urusan pembinaan rumah tidak wujud sehingga menyebabkan kerugian RM43,000.

Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pada jam 3.30 petang Rabu di Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, mangsa sebelum ini telah membuat perjanjian berkaitan pembinaan unit rumah dengan sebuah syarikat pada 27 Februari 2017.

"Selepas perjanjian ditandatangani oleh suspek, mangsa kemudian dihubungi untuk meminta wang pendahuluan.

"Dia kemudian memindahkan wangnya kepada akaun milik suspek atas nama syarikat berkenaan dan pembayaran dibuat sebanyak tiga kali membabitkan RM28,000, RM10,000 dan terakhir RM5,000," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Khamis.

Katanya lagi, selepas semua pembayaran dibuat mangsa kemudian mendapati pembinaan rumah yang dijanjikan tidak berjalan.

"Hasil siasatan mendapati, mangsa telah diperdaya dengan urusan pembinaan rumah kampung secara bersemuka.

"Suspek direman bermula hari ini (Khamis) dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: