Perkenal cukai baharu: Kerajaan ambil langkah berhati-hati

Mohd Shahar Abdullah
Mohd Shahar Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan mengambil langkah berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan untuk memperkenal dasar cukai baharu kerana dibimbangi akan menjejaskan komitmen pelabur di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, ia termasuklah cadangan mewujudkan insentif cukai baharu kepada syarikat yang mendapat keuntungan luar biasa pada waktu tertentu khususnya dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.

"Kita tidak boleh melakukan langkah cukai tanpa melihat kepada ekosistem yang besar. Tetapi kita juga mesti melihat pelaburan negara yang dibuat sama ada pelabur dari syarikat luar negara atau dalam negara.

"Sekiranya berlaku dasar dasar baharu atau langkah insentif cukai yang baharu dengan hanya mengambil kira keuntungan luar biasa dalam tempoh luar biasa ini (dibimbangi) juga akan menjejaskan komitmen atau kesanggupan pelabur.

"Jadi, kita mesti berhati-hati dengan apa yang kita lakukan," katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) berhubung pendirian kerajaan untuk mewujudkan insentif cukai baharu kepada syarikat yang mendapat keuntungan luar biasa pada waktu tertentu khususnya dalam tempoh pandemik ini.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai kesediaan kerajaan untuk melaksanakan cukai durian runtuh atau 'windfall tax, Mohd Shahar berkata, perkara itu akan dimaklumkan semasa pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2022 dalam masa terdekat ini.

"Berkaitan perkara yang dibangkitkan Yang Berhormat, kita akan maklum dalam masa terdekat semasa pembentangan RUU tersebut sama ada ia dilaksana atau sebaliknya," jelasnya.

Artikel Berkaitan: