Fasa 4: Ekonomi Negeri Sembilan akan kembali rancak

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Negeri Sembilan kini berada di landasan yang baik untuk memulihkan semula sektor ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sektor ekonomi Negeri Sembilan akan rancak kembali sebaik sahaja beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Jumaat ini.

"Tahniah dan terima kasih saya ucapkan kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan yang sentiasa memberikan kerjasama dengan mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan dengan baik.

"Peralihan ke Fasa Empat PPN ini juga tidak dapat direalisasikan tanpa kerjasama baik semua petugas barisan hadapan yang berusaha menguatkuasakan SOP.

"SOP lanjut berkenaan Fasa Empat PPN bolehlah rujuk di saluran rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya dalam kenyataan di Facebook pada Khamis.

Tambahnya, pada fasa ini juga usaha yang lebih menyeluruh dilakukan bagi menggalakkan ekonomi dapat dilaksanakan.

Mengikut rekod, pada Rabu Negeri Sembilan mencatatkan 170 kes baharu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 96,053 kes akibat Covid-19 dengan 1,188 kematian.

Negeri Sembilan menjadi negeri pertama di Semenanjung Malaysia yang akan beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa 24 September ini.

Artikel Berkaitan:

Keputusan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri pada Rabu.