Menteri kabinet Kanada letak jawatan

Jane Philpott
Jane Philpott
A
A
A

OTTAWA - KANADA . Salah seorang menteri kabinet di bawah pentadbiran Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau dilapor meletak jawatan dengan alasan telah hilang kepercayaan terhadap cara kerajaan mengendalikan siasatan rasuah.

Presiden Lembaga Perbendaharaan Jane Philpott, mengumumkan peletakan jawatannya semalam dan menyuarakan kebimbangan berhubung bukti yang menunjukkan terdapat usaha daripada ahli politik dan pegawai berkuasa untuk menekan Peguam Negara supaya campur tangan dalam siasatan kes firma kejuruteraan SNC-Lavalin yang dituduh terlibat dalam rasuah.

Terdahulu, Trudeau dikecam kerana didakwa cuba melindungi firma SNC-Lavalin yang merupakan antara syarikat kejuruteraan dan pembinaan terbesar di dunia itu daripada siasatan rasuah dan penipuan melibatkan pegawai dari Libya bermula tahun 2001-2011.

"Saya telah hilang kepercayaan terhadap kerajaan berhubung cara ia menangani perkara tersebut dan bagaimana ia memberi maklum balas tentang isu yang dibangkitkan," kata Philpott sambil menambah beliau tidak lagi mampu meneruskan khidmatnya dalam kabinet Trudeau.

Sementara itu, Trudeau yang kecewa dengan peletakan jawatan Philpott mengucapkan terima kasih di atas khidmat dan dedikasinya kepada rakyat Kanada selama ini

Philpott bagaimanapun akan terus berada dalam Parlimen sebagai ahli parti Liberal.

Peletakan jawatan Philpott merupakan yang ketiga selepas pengunduran bekas peguam negara dan menteri keadilan Jody Wilson-Raybould daripada kabinet Februari lalu.- BBC

Artikel Berkaitan: