Angin kuat punca kapal karam

Tangkap layar rakaman kapal tenggelam yang tular di laman sosial.
Tangkap layar rakaman kapal tenggelam yang tular di laman sosial.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Jabatan Laut Malaysia mengesahkan menerima satu laporan kecemasan berhubung sebuah kapal layar MV Ocean Serene yang tenggelam di perairan Pelabuhan Selatan di sini pada Rabu.

Jabatan itu dalam satu kenyataan berkata, siasatan awal, mendapati kejadian berlaku pada jam 7.30 malam dan kapal tersebut dipukul angin kuat ketika bersauh di pelabuhan tersebut.

"Penolakan angin tersebut menyebabkan air masuk terlalu laju melalui lubang di transom kapal tersebut.

"Pam telah digunakan tetapi tidak berupaya untuk mengeluarkan air yang masuk terlalu laju sehingga menyebabkan sebahagian kapal telah tenggelam," kata kenyataan itu pada Khamis.

Menurut kenyataan itu, seramai enam krew warga Indonesia yang berada di atas kapal itu telah 'abandon ship' dan diselamatkan oleh sebuah bot milik orang awam yang kebetulan melalui kawasan tersebut.

Pada Khamis, Bot Jabatan Laut Wilayah Tengah juga telah diarahkan membuat pemantauan pada pagi Khamis bagi mengesan tumpahan minyak di kawasan sekitar dan sebarang pergerakan kapal karam tersebut.

"Jabatan Laut Wilayah Tengah juga akan membuat proses penandaan 'Special Mark Buoy' di kawasan tersebut bagi memastikan laluan tersebut tidak digunakan buat masa ini.

"Satu pasukan penyiasat juga telah ditubuhkan oleh Jabatan Laut Wilayah Tengah bagi mengetahui punca kejadian dan kos yang terlibat" jelas kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, tular satu video berdurasi dua minit 50 saat di laman sosial yang memaparkan detik-detik cemas kesemua krew kapal itu diselamatkan sebuah bot pemancing.