Penanaman padi Kawasan Muda bermula

MADA bersetuju menetapkan tarikh Jadual Penanaman Padi Musim 2/2021 dengan tarikh mula menabur bagi fasa I adalah pada 15 September sehingga 15 Oktober depan. - Foto MADA
MADA bersetuju menetapkan tarikh Jadual Penanaman Padi Musim 2/2021 dengan tarikh mula menabur bagi fasa I adalah pada 15 September sehingga 15 Oktober depan. - Foto MADA
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bersetuju menetapkan tarikh Jadual Penanaman Padi Musim 2/2021 iaitu 15 September hingga tarikh akhir pada 15 Oktober depan sebagai tarikh mula menabur bagi fasa satu.

Menurut Pengurus Besar MADA, Kamarudin Dahuli, bagi fasa dua, tarikh mula menabur pula pada 25 September hingga tarikh 25 Oktober manakala 5 Oktober hingga 4 November bagi fasa tiga.

"Penentuan jadual ini dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor seperti ramalan sumber air sepanjang tahun termasuk takungan air di empangan, aliran sungai, turunan hujan di kawasan sawah dan guna semula air saliran.

"MADA turut mengambil kira faktor ramalan pencapaian aktiviti penuaian bagi musim 1/2021, varieti dan tempoh matang padi serta masalah penyakit serta perosak padi yang dihadapi petani," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kamarudin turut meminta peladang di Kawasan Muda dipohon mematuhi Jadual Penanaman Padi Musim 2/2021 mengikut fasa di kawasan masing-masing bagi memudahkan pengurusan sokongan bekalan pengairan untuk pertanian.

Menurutnya, peladang juga diminta memaksimumkan penggunaan air hujan di kawasan bendang untuk kegunaan aktiviti penanaman padi.

"Mengikut ramalan jangka panjang yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan pada Oktober hingga Disember 2021 adalah pada kadar purata," ujarnya.

Sementara itu, mengulas lanjut beliau berkata, bekalan Benih Padi Sah (BPS) bagi Musim 2/2021 akan dipasarkan melalui 27 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, selain PPK MADA,peladang juga boleh mendapatkan bekalan BPS daripada agen atau individu yang mempunyai lesen atau Surat Kebenaran Khas menjual BPS dengan harga siling RM35 bagi setiap beg BPS.

"Peladang dinasihatkan menggunakan BPS sahaja bagi tujuan penanaman padi selain sentiasa mengamalkan amalan pertanian baik serta mengikut Senarai Semak Penanaman Padi (RiceCheck) bagi membolehkan potensi hasil yang maksimum dapat dihasilkan," katanya lagi.