X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

155,893 individu diberhentikan kerja sejak 2020

M Saravanan. - Foto Awani
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah 155,893 individu diberhentikan kerja di seluruh negara ketika pandemik Covid-19 melanda negara sejak tahun 2020 sehingga Julai 2021.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata daripada jumlah itu, 141,191 pekerja di Semenanjung Malaysia diberhentikan oleh 5,095 majikan.

"Manakala bagi negeri Sarawak, sebanyak 509 majikan terlibat dengan pemberhentian melibatkan seramai 8,996 orang pekerja dalam tempoh yang sama.

"Di negeri Sabah pula, 355 majikan terlibat dalam pemberhentian seramai 5,706 pekerja dalam tempoh 2020 hingga September 2021 yang melibatkan sektor penginapan dan rantaian perkhidmatan makanan serta minuman, sektor pembuatan, sektor pembinaan dan sektor pentadbiran dan khidmat sokongan," katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang meminta Kementerian menyatakan berapa banyak bilangan majikan yang telah diambil tindakan akibat menghentikan pekerja-pekerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dikuatkuasakan dari tahun 2020 sehingga sekarang.

Menjawab soalan itu, Saravanan berkata sehingga kini tiada tindakan pendakwaan dibuat ke atas majikan kerana majikan yang memberhentikan pekerja mematuhi peruntukan di bawah Seksyen 63, Akta Kerja 1955 (Akta 265).

"Majikan yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang yang ada atau melanggar peruntukan di bawah akta, apabila sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap kesalahan," katanya.

Antara syarat yang dikenakan termasuk mewajibkan majikan melengkap dan mengemukakan Borang Pemberhentian (PK) dalam tempoh 30 hari sebelum tindakan pemberhentian dilakukan. Sumber Awani


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!