9,015 kes keganasan rumah tangga sejak PKP

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 9,015 kes keganasan rumah tangga dilaporkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa Mac tahun lalu hingga Ogos tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kebanyakan kes berpunca daripada desakan ekonomi dan tekanan hidup.

"Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kes keganasan rumah tangga bagi tahun 2020 ialah sebanyak 5,260. Terdapat penurunan jika dibandingkan dengan tahun 2019 iaitu 5,657 kes.

"Jadi, jika ditanya soalan bermula daripada PKP, saya hendak memaklumkan bermula daripada Mac 2020 sehingga Ogos 2020 telah dicatatkan (kes ) 4,110.

"Bagi Januari hingga Ogos 2021 pula sebanyak 4,905 kes. Justeru jumlah keseluruhan bermula PKP sehingga Ogos adalah 9,015 kes," katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) yang meminta kementeriannya menyatakan jumlah kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan sepanjang tempoh PKP.

Mengulas lanjut, Rina berkata, kementeriannya masih meneruskan inisiatif sokongan kepada mangsa keganasan rumah tangga.

Katanya, antara inisiatif itu adalah terus membuka Talian Kasih 1599 dan memperluaskan usaha untuk mempromosikan aduan secara dalam talian termasuklah aplikasi WhatsApp 019-261599.

Artikel Berkaitan: