'Manchester United sudah berusaha'

Ole Gunnar Solskjaer
Ole Gunnar Solskjaer
A
A
A

PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer tetap memuji sikap para pemainnya walaupun tewas kepada West Ham United 0-1 dalam aksi Piala Liga di Old Trafford pada awal pagi Khamis.

Menurut Solskjaer, para pemainnya telah memberikan yang terbaik dengan melakukan 27 percubaan ke gawang West Ham walaupun memperagakan permulaan hambar dalam perlawanan itu.

"Ia satu permulaan yang buruk dan itu memerlukan perhatian. Selepas itu, kami bermain baik untuk satu tempoh yang lama. Statistik tidak memberikan apa-apa makna, tetapi apabila anda melakukan 27 percubaan itu bermakna pemain sudah berusaha.

"Kami tidak mencipta peluang yang berbahaya namun kami mencipta tekanan ke atas pihak lawan. Kami kucar-kacir pada minit-minit akhir dan mereka (West Ham) boleh menjaringkan lebih banyak gol.

"Kami mahu mara tetapi ia satu musim yang panjang. Semua pemain telah berusaha dan saya tidak boleh menyalahkan sikap dan semangat mereka.

"Saingan masih awal, kami tahu akan berhadapan dengan perjalanan yang panjang. Liga Juara-Juara, Piala FA dan Liga Perdana Inggeris - kami masih mempunyai perlawanan yang banyak. Kami hanya perlu teruskan apa yang kami sedang buat dan dapatkan keputusan yang baik," katanya.

Dalam perlawanan itu, gol tunggal Manuel Lanzini memastikan kemenangan pertama West ham di Old Trafford sejak 2007 sekali gus menyingkirkan United daripada saingan piala tersebut.

Dalam pada itu, Solskjaer menyifatkan United seharusnya mendapat penalti selepas Mark Noble menarik Jesse Lingard beberapa minit selepas gol Lanzini tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak mahu mengulas lanjut tetapi ia adalah penalti ke atas Lingard.

"Anda tidak boleh menarik pemain ketika anda terjatuh dan ia adalah satu kesalahan. Mark tidak bernasib baik (gagal menjaringkan penalti pada perlawanan baru-baru ini) tetapi dia cukup bernasib baik dengan insiden pada hari ini," katanya.