Pengantin, wali dan saksi perlu jalani saringan Covid-19

Bakal pengantin di Pulau Pinang perlu menjalani ujian saringan Covid-19 iaitu sekurang-kurangnya Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 (ujian sendiri) sebelum menjalani akad nikah, berkuat kuasa pada Khamis. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
Bakal pengantin di Pulau Pinang perlu menjalani ujian saringan Covid-19 iaitu sekurang-kurangnya Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 (ujian sendiri) sebelum menjalani akad nikah, berkuat kuasa pada Khamis. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMASKINI] Bakal pengantin di Pulau Pinang yang ingin melangsungkan pernikahan perlu melaksanakan ujian saringan Covid-19 sekurang-kurangnya menggunakan Kit Pantas Antigen Covid-19 atau ujian kendiri berkuat kuasa pada Khamis.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Datuk Mohd Zakuan Zakaria berkata, prosedur sama juga diwajibkan kepada wali dan saksi nikah sebagai usaha membendung penularan wabak itu.

Menurutnya, ujian saringan perlu dilakukan 30 minit sebelum majlis akad nikah berlangsung dan majlis itu hanya dibenarkan diadakan di Pejabat Agama Daerah (PAD) dengan kehadiran tujuh orang sahaja.

"Hanya pasangan pengantin yang didapati negatif sahaja dibenarkan meneruskan akad nikah.

“Jumlah pasangan pengantin yang diterima untuk diakadnikahkan tidak melebihi 10 orang setiap hari bagi setiap PAD," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Mohd Zakuan berkata, bagi pasangan pengantin yang tidak mendapat kebenaran untuk merentas daerah atau negeri, individu berkenaan boleh melantik dan mewakilkan seorang wakil untuk menerima nikah bagi pihaknya.

Beliau berkata, kesemua pihak perlu mematuhi tarikh dan masa yang ditetapkan dan PAD boleh membatalkan majlis sekiranya ada yang gagal hadir pada masa yang ditetapkan.

Jelasnya, tempoh masa pelaksanaan akad nikah juga perlulah tidak melebihi 30 minit.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Zakuan berkata, semua permohonan perkahwinan luar negeri diterima dan hanya permohonan yang lengkap diproses.

Tambahnya, urusan permohonan pendaftaran perceraian dan rujuk juga diterima.

“Pasangan yang ingin melafazkan rujuk hendaklah membawa bersama surat perintah pengesahan perceraian dari mahkamah,” katanya

Dalam perkembangan sama, beliau berkata semua kursus praperkahwinan Islam secara bersemuka ditangguhkan dan temu duga khas menggantikan kursus praperkahwinan secara dalam talian dibuka sepanjang tempoh Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).