X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

RMK-12 tumpu kebajikan, perlindungan sosial

Mustapa Mohamed
A
A

KUALA LUMPUR - Kebajikan, perlindungan sosial dan projek-projek berpaksikan rakyat akan lebih menjadi keutamaan berbanding projek mega baharu dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) susulan pandemik Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pandemik yang berpanjangan sejak awal tahun lepas mengubah corak perbelanjaan kerajaan dalam merangka masa depan negara yang kini lebih menumpukan kepada perkembangan pasca pandemik bagi lima tahun akan datang.

“RMK-12 juga akan memberi tumpuan terhadap janji kita berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 yang mana komitmen kerajaan terhadap pembangunan Sabah dan Sarawak, meliputi pembinaan jalan raya, hospital, sekolah dan digital.

“Kalau tanya saya apa keutamaan RMK-12, yang pertama, untuk kemiskinan ini penting, termasuklah keseimbangan jurang pendapatan dan juga hal-hal berkaitan Sabah dan Sarawak, selain luar bandar dan miskin bandar. Kemiskinan menjadi satu tumpuan. Jadi kalau miskin kita bukan cakap mengenai projek mega yang biasa dikaitkan dengan projek infrastruktur.

“Jadi tahun depan kita tidak boleh belanja banyak sangat untuk projek yang dianggap besar tetapi projek keperluan asas di luar bandar akan terus diberi perhatian,” katanya dalam rancangan Bicara Naratif bertajuk RMK-12: Membina Kembali Ekonomi Negara yang disiarkan di TV1 malam Khamis.

Mustapa berkata, kerajaan tidak boleh mengharapkan projek mega baharu bagi 2022 sebaliknya hanya akan menumpukan kepada projek yang sedang berjalan seperti projek Sistem Transit Rapid (RTS) Malaysia-Singapura dan sebagainya.

Bagaimanapun menurutnya, apabila ekonomi pulih mengikut jangkaan pada 2023, sudah pasti kerajaan perlu memikirkan kepada projek-projek yang boleh membantu meningkatkan infrastruktur seperti jalan raya, pelabuhan dan lapangan terbang.

Mustapa mengakui impak pandemik kepada ekonomi negara cukup besar apabila sebanyak 20 peratus atau kira-kira 580,000 isi rumah daripada kumpulan M40 kini beralih kepada had pendapatan di bawah kumpulan B40.

Justeru katanya, dalam RMK-12, kerajaan perlu memastikan isu yang dihadapi rakyat secara keseluruhan perlu ditangani termasuk dari segi kesihatan dan kesempitan ekonomi.

“Ramai yang tinggal di luar bandar tidak ada perlindungan sosial, yang bekerja sendiri, malah ada yang bekerja dalam sektor ekonomi gig tidak ada perlindungan sosial.

“Pandemik telah mendorong kita untuk melihat beberapa dasar yang dahulu kita rasa tiada masalah, tetapi sekarang menjadi masalah. Ini perkara yang perlu kita tangani,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!