Usaha negara capai imuniti kelompok semakin dekat

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Usaha negara untuk mencapai imuniti kelompok kini semakin dekat apabila golongan remaja pula akan menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ia susulan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (PICK-Remaja) kepada pelajar berumur dari 12 hingga 17 tahun.

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, program tersebut dilaksanakan secara berperingkat mengikut lokasi sekolah dan jadual akan disediakan secara bersama-sama oleh pihak sekolah, pejabat pendidikan daerah dan pejabat kesihatan daerah.

Menurutnya, PICK-Remaja melibatkan 868 buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam serta PPV sekolah dan institusi pendidikan di seluruh negara.

Perkara itu dimaklumkan dalam sidang media secara hibrid pada Rabu.

Berita tersebut mungkin boleh menyebabkan ibu bapa panik serta menyerbu kawasan PPV yang terlibat bagi memastikan anak-anak mereka mendapat suntikan vaksin Covid-19.

Justeru, Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dalam sidang media pada Rabu menasihati orang ramai supaya janganlah menyerbu PPV kerana bekalan vaksin yang disediakan sememangnya mencukupi untuk memenuhi keperluan 3.2 juta pelajar.

Selain itu, satu lagi berita yang mungkin membawa gembira adalah kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu dengan mengumumkan pembukaan pusat pelancongan, pulau atau kawasan pelancongan beserta aktiviti rentas negeri akan dibenarkan dengan syarat kadar vaksinasi dewasa mencapai 90 peratus.

Artikel Berkaitan:

Menurut Perdana Menteri, keputusan tersebut akan dibuat berdasarkan data dan analisis oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Biarpun baru kenyataan, namun pastinya sudah ada yang menanti realiti kerana ia sememangnya harapan bagi semua orang.

Pada masa sama beberapa pusat pelancongan pula dijangka membuat persiapan bagi perkara tersebut.

Ia mungkin sahaja sebagai persediaan menerima serbuan pengunjung di lokasi pelancongan itu nanti seperti yang berlaku di Pulau Langkawi.

Bagaimanapun, ke mana jua kita melangkah, jangan sesekali lupa untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha mengekang penularan Covid-19.