X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Misi serampang dua mata

Skuad badminton negara yang akan beraksi pada Piala Sudirman 2021 di Finland. -Foto: BAM
A
A

KEHADIRAN ramai pemain muda pada Piala Sudirman di Vantaa, Finland mulai 26 September hingga 5 Oktober ini dianggap dilihat sebagai misi misi serampang dua mata buat Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Perkara itu ditegaskan Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang turut melihat penampilan barisan pemain muda itu sebagai persiapan terbaik sebelum menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.

“Seperti yang kita semua maklum, pasukan badminton negara yang beraksi pada Piala Sudirman dibarisi ramai pemain muda. Ini bolehlah kita katakan misi serampang dua mata.

“Pertamanya, kita mahu mengetengahkan bakat dan kualiti pemain muda. Mereka inilah antara pemain yang akan kita ketengahkan pada Sukan Olimpik Paris 2024 nanti.

“Keduanya, kita mahu mereka menimba pengalaman beraksi pada kejohanan besar seperti Piala Sudirman. Ia secara tak langsung membina keyakinan mereka ke tahap lebih tinggi.

“Tempoh tiga tahun ini cukup penting dalam menampilkan barisan pemain muda terbaik sebelum Olimpik di Paris,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Skuad Piala Sudirman kali ini akan menampilkan tiga pemain berpengalaman diketuai juara Seluruh England, Lee Zii Jia dan beregu lelaki yang juga pemenang gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 - Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Skuad negara dibarisi pemain muda seperti Ng Tze Yong, S Kisona, Eoon Qi Xuan, Man Wei Chong, Tee Kai Wun, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Pearly Tan, M Tinaah, Yap Ling, Teoh Mei Xing, Hoo Pang Ron, Cheah Yee See, Chen Tang Jie, Peck Yen Wei dan K Letshanaa.

Malaysia yang juga pilihan kelapan, berdepan saingan hebat apabila diundi dalam Kumpulan D bersama naib juara 2019, Jepun selain England dan Mesir dalam undian yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Dalam pada itu, Mohamad Norza berkata, barisan pemain sama juga dijangka diketengahkan bagi menyertai Piala Thomas/Uber yang dijadualkan berlangsung di Aarhus, Denmark dari 9 hingga 17 Oktober depan.

“Secara keseluruhannya, pendedahan yang kita berikan kepada pemain-pemain muda ini sebagai langkah terbaik bagi menyediakan mereka untuk mengharungi kejohanan besar pada masa akan datang.

“Malah, ia juga merupakan platform terbaik bagi memulakan langkah dengan lebih mencabar. Saya harap mereka dapat mengambil kesempatan atas peluang ini,” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!