X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 25 Oktober 2021

Tiba masa SPRM diletak bawah kuasa Parlimen

A
A

SHAH ALAM - Tuntutan dan gesaan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dikuasai pengaruh politik harus dipercepatkan.

Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Badlishah Sham Baharin berkata, sudah tiba masanya untuk SPRM bebas daripada penguasaan ahli politik dan diletakkan di bawah penguasaan Parlimen.

Menurutnya, pelaksanaan itu dilihat sangat penting bagi memastikan kebebasan dan ketelusan institusi suruhanjaya itu dapat diimplementasikan sepenuhnya.

“Tuntutan agar SPRM dan Jabatan Peguam Negara (AG) bebas daripada pengaruh politik telah digerakkan oleh Pasukan Rasuah Busters pada 11 September lalu menerusi pelancaran kempen Politik #MalaysiaTanpaRasuah.

“Ia merupakan sebahagian daripada enam tuntutan yang digesa dilaksanakan di negara ini agar ketelusan dan kebebasan kuasa dua entiti ini dapat berlangsung tanpa sebarang sekatan atau gangguan daripada kuasa politik,” katanya kepada Kru Rasuah Busters pada Selasa.

Beliau mengulas mengenai dakwaan kehilangan wang berjumlah AS$6 juta (RM25 juta) di bawah pengawasan SPRM yang dipercayai didalangi tiga pegawai kanan SPRM.

Mengulas lanjut, Badlishah berkata, GBM juga bersetuju dengan tuntutan lantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu diputuskan oleh sidang Parlimen.

Jelas beliau, satu komuniti Parlimen terpilih akan bertanggungjawab memilih siapakah individu yang layak menjawat jawatan nombor satu SPRM.

Menurutnya, gesaan tersebut bagi memastikan individu yang dipilih menerajui SPRM benar-benar bebas dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan.

“Pemilihan Ketua Pesuruhjaya SPRM ini perlu diusulkan dan dibincang oleh satu komuniti Parlimen terpilih, bukannya dilantik oleh orang politik.

``Ia bertujuan memastikan segala operasi dan pengurusan SPRM berjalan dengan telus tanpa ada gangguan kuasa politik semasa,” tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau bersetuju agar Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki direhatkan buat sementara waktu sepanjang tempoh siasatan kes kehilangan wang berkenaan.

Badilshah menambah, pengunduran sementara Azam mampu menjernihkan suasana dan membolehkan satu siasatan telus dapat dilakukan oleh badan penyiasat.

“Jika dakwaan ini benar, ia sangat mengecewakan rakyat kerana SPRM merupakan sebuah entiti penyiasat yang dipenuhi elemen integriti dan amanah.

“Maka Azam perlu bertanggungjawab sepenuhnya dengan apa yang telah berlaku apabila isu integriti SPRM menjadi pertaruhan dan persoalan umum. Malah imej SPRM sendiri telah tercalar,” tegas beliau lagi.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!