X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

Thailand belum buat keputusan mengenai Sajat

Nur Sajat
A
A

BANGKOK - Thailand sedang mempertimbangkan untuk menghantar pulang pengusaha kosmetik Muhammad Sajjad Kamarul Zaman atau lebih dikenali Nur Sajat yang melarikan diri ke Thailand dan didakwa pihak berkuasa Thailand atas kesalahan imigresen.

Timbalan Komander dan jurucakap Biro Imigresen Mejar Jeneral Achayon Kraithong berkata, Muhammad Sajjad ditahan kerana masuk secara haram.

"Ada banyak prosedur (untuk hantar pulang Muhammad Sajjad)... kita perlu mengikuti undang-undang imigresen. Sama ada untuk menghantar (Muhammad Sajjad) balik atau tidak, ia masih dipertimbangkan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bagaimanapun, Bernama difahamkan pihak berkuasa Thailand masih belum menerima sebarang permohonan daripada pihak berkuasa Malaysia.

Muhammad Sajjad ditahan pegawai imigresen Thailand pada 8 September kerana pasport tidak sah dan dibebaskan dengan ikat jamin RM8,343 pada 10 September.

Pada Selasa, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berusaha bersama Kementerian Luar dan pejabat Peguam Negara untuk proses mengekstradisi ahli perniagaan kosmetik itu ke Malaysia.

Muhammad Sajjad diburu pihak berkuasa Malaysia selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan pada 23 Februari kerana gagal hadir pada sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Pada 15 Jun lepas, polis turut menjejaki Muhammad Sajjad bagi membantu perbicaraan kes penipuan pertukaran nama dan jantina pada kad pengenalan yang sedang berlangsung di Mahkamah Ampang.

Media melaporkan Muhammad Sajjad telah memohon status pelarian dari Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian dan sedang mengintai untuk pindah ke Australia.

Sementara itu, Thailand mengulangi bahawa kes Muhammad Sajjad akan dikendalikan mengikuti lunas undang-undang negara itu. Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Tanee Sangrat berkata "kami tangani kes ini berlandaskan kemanusiaan dan undang-undang".

Sementara itu, penyelidik Human Rights Watch Thailand Sunai Phasuk berkata Muhammad Sajjad diakui sebagai pelarian oleh UNHCR. Katanya, adalah menjadi kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa Thailand dan tidak boleh membahayakan Muhammad Sajjad.

"Thailand tertakluk di bawah prinsip peraturan antarabangsa, tiada penghantaran pulang paksa yang melarang menghantar pulang seseorang ke negara di mana mereka mungkin menghadapi pendakwaan atau penganiayaan serius," katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!