Malayan Tigress raih tiga mata berharga

Skuad negara menjalani sesi latihan di Stadium Al-Ibreh, Tebing Barat sebagai persediaan menghadapi Kelayakan Piala Asia Wanita 2020. - FOTO: FB FAM
Skuad negara menjalani sesi latihan di Stadium Al-Ibreh, Tebing Barat sebagai persediaan menghadapi Kelayakan Piala Asia Wanita 2020. - FOTO: FB FAM
A
A
A

SKUAD bola sepak negara tidak pulang dengan tangan kosong selepas menewaskan tuan rumah, Palestin 2-0 pada aksi kedua Kumpulan H Kelayakan Piala Asia Wanita 2022 di Stadium Faisal Al-Husseini, Tebing Barat sebentar tadi.

Keputusan itu dianggap cukup bermakna bagi menebus kekecewaan Malayan Tigress apabila tewas 0-4 kepada pasukan pilihan, Thailand dalam aksi pembukaan di gelanggang sama pada Ahad lalu.

Dalam pertemuan menentang Palestin, Andrea Lee terlebih dulu menceriakan skuad negara apabila menyumbat gol sulung pada minit ke-57.

Malayan Tigress mengesahkan kemenangan di bumi Palestin apabila kapten, Steffi Sarge Singh meledak gol kedua pada minit ke-81.

Biarpun meraih tiga mata berharga, peluang skuad kendalian Jacob Joseph itu untuk melangkah ke pusingan akhir tampak masih berliku kerana hanya juara kumpulan yang akan layak.

Thailand hanya memerlukan keputusan seri apabila berdepan Palestin pada Sabtu ini untuk muncul juara kumpulan dan mengesahkan tempat di pusingan akhir di India pada 20 Januari hingga 6 Februari 2022.

Setakat ini, empat pasukan sudah mengesahkan tempat ke pusingan akhir iaitu India selaku tuan rumah selain Jepun (juara 2018), Australia (naib juara 2018) dan China (tempat ketiga 2018).

Artikel Berkaitan: