Tabik Minamino!

Minamino meraikan jaringannya di Carrow Road pada awal pagi Rabu.
Minamino meraikan jaringannya di Carrow Road pada awal pagi Rabu.
A
A
A

TAKUMI Minamino tampil memukau apabila menyumbat dua gol bagi membantu Liverpool menumpaskan Norwich City 3-0 dalam aksi pusingan ketiga Piala Liga di Carrow Road pada awal pagi Rabu.

Penyerang Jepun itu yang dipinjamkan kepada Southampton pada pertengahan musim lalu memanfaatkan sepenuhnya peluang beraksi untuk mencuri tumpuan pengendali The Reds, Jurgen Klopp.

Malah, Klopp secara terbuka menghamburkan pujian tinggi kepada Minamino yang dilihatnya mampu bermain sebagai penyerang dan juga pemain tengah.

“Taki (Minamino) mempamerkan permainan hebat dan kami menukarnya ke bahagian tengah di babak kedua kerana dia sedang berada pada prestasi terbaik.

“Dia bijak mencari ruang dan terlibat dalam semua hantaran dengan Tyler (Morton) serta Ox (Alex Oxlade-Chamberlain). Kami boleh menggunakan kelajuannya.

“Jaringan pertama juga Taki sangat hebat. Dia seorang pemain yang cukup bijak dan peka, malah saya tidak tahu bagaimana dia boleh menyudahkan gol itu,” katanya.

Sejak kembali ke Anfield pada musim panas lalu, Minamino tidak beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menyaksikan Liverpool meraih empat kemenangan dan satu seri setakat ini.

Namun, Klopp melakukan rombakan besar dalam pertemuan menentang Norwich yang menyaksikan pemain berusia 26 tahun itu mengisi kesebelasan utama The Reds.

Artikel Berkaitan:

Minamino pantas membalas kepercayaan yang diberikan Klopp apabila membuka tirai jaringan Liverpool seawal minit keempat selepas melakukan rembatan cantik yang berpunca daripada sepakan penjuru.

Divock Origi menggandakan kedudukan lima minit memasuki babak kedua sebelum Minamino meledak gol ketiga Liverpool pada minit ke-80.

“Pemain memerlukan masa untuk kembali ke prestasi terbaik selepas cedera tetapi Taki benar-benar berada dalam momen yang amat baik. Dia layak mendapatkan dua gol,” ujar Klopp.