'Sidang DUN bincang isu rakyat, bukan perwatakan pemimpin'

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Dewan Undangan Negeri (DUN) sepatutnya menjadi tempat perbincangan mengenai hal-hal berkaitan negeri dan rakyat, bukannya membangkitkan perwatakan pemimpin.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penilaian terhadap pemimpin tidak sewajarnya dibahas dalam persidangan DUN kerana masih banyak isu penting lain yang perlu diberikan keutamaan.

Menurutnya, prestasi dan pencapaian pemimpin sepatutnya dinilai berdasarkan pengurusan pentadbiran termasuk produktivitinya.

“Kalau benda macam itu pun nak dibawa masuk sidang DUN, saya rasa tidak patut. Nak pertikai peribadi saya sehingga dibawa bahas, DUN bukan tempat sesuai untuk pertikai peribadi seseorang,” katanya pada sidang akhbar secara maya selepas persidangan DUN Kedah pada Rabu.

Malah katanya, tindakan beberapa wakil rakyat pembangkang membangkitkan isu berkenaan perwatakan dirinya dalam persidangan DUN Kedah adalah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku.

Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang membangkitkan isu berkenaan antaranya Datuk Johari Abdul (PKR-Gurun), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jitra) serta Yeo Keng Chuan (PKR-Kulim) yang menegur Muhammad Sanusi agar berhati-hati kerana didakwa sering membuat kenyataan yang mencetuskan kontroversi.

Datuk Dr Ismail Salleh (Amanah-Pengkalan Kundur) turut membangkitkan perkara sama berhubung gurauan Muhammad Sanusi yang keterlaluan berkaitan isu kontena jenazah beberapa bulan lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sanusi ditegur sering keluarkan kenyataan kontroversi

'Sanusi kena ubah sikap'

Mengulas mengenai perkara itu, Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak akan mengubah perwatakannya semata-mata untuk memuaskan hati pihak lain.

Artikel Berkaitan:

“Saya kekal menjadi diri sendiri, tak perlu berlakon untuk jadi orang lain. Saya tak akan bekerja dalam keadaan berlakon semata-mata. Saya adalah diri saya sendiri, dilahirkan seperti ini, macam mana nak ubah,” katanya lagi.

Beliau berharap pihak luar tidak menyalah tafsirkan sikapnya yang gemar bergurau kerana ia sebahagian daripada terapi untuk dirinya menghilangkan tekanan kerja selain mengeratkan hubungan.

“Saya suka bergurau, tapi orang ambil gurauan itu sebagai serius, terpulang kepada mereka. Saya mesra dengan wartawan dan selalu sebut nama mereka sebab anggap mereka sebagai rakan, itu pun ada pihak luar merungut,” katanya.

Tambah Muhammad Sanusi, pihak luar tidak perlu mengatur atau membentuk peribadinya kerana beliau tetap akan menjadi dirinya yang sebenar tanpa perlu berpura-pura.

“Nak suruh saya cakap bahasa bangsawan, saya tidak reti. Saya cakap bahasa saya sajalah dengan menjadi diri sendiri. Saya rasa kawan-kawan yang saya bergurau itu faham, yang dipetik di luar konteks sebenar adalah pihak luar,” katanya.