Biden sokong Palestin

Joe Biden
Joe Biden
A
A
A

NEW YORK - Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menunjukkan pendirian berbeza berbanding pendahulunya, Donald Trump yang bersifat pro-Israel apabila beliau secara lantang menzahirkan sokongan terhadap tuntutan Palestin untuk menjadi sebuah negara merdeka di pentas antarabangsa.

"Kita perlu mencapai keamanan secara berterusan demi untuk penduduk di Asia Barat pada masa depan.

"Saya tetap percaya penyelesaian dua negara adalah cara terbaik untuk mewujudkan situasi aman di rantau itu bersama-sama Palestin sebagai sebuah negara berdaulat, demokrasi dan berdaya maju.

"Masih jauh untuk mencapai matlamat itu. Namun, kita tidak boleh terus berputus asa terhadap sebarang kemungkinan kemajuan usaha damai Israel-Palestin," katanya menerusi ucapan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-76 di New York pada Selasa.

Biden turut mengulangi janji beliau untuk kembali menyertai Perjanjian Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) yang dicapai pada 2015 bagi mengekang program nuklear Iran malah beliau berharap Teheran juga akan melakukan perkara sama.

Pada Mei lalu, Biden turut menegaskan penyelesaian dua negara sebagai satu-satunya cara untuk menyelesaikan konflik antara Israel dan Palestin.

Biden sebelum ini memaklumkan beliau telah menghubungi Presiden Mahmoud Abbas bagi memaklumkan rancangan pentadbirannya untuk Palestin termasuk memperbaharui komitmen keselamatan dan ekonomi penduduk di Tebing Barat.

Presiden ke-46 AS itu juga berjanji untuk menyalurkan bantuan bersama negara antarabangsa lain bagi membina semula Genting Gaza yang musnah dalam operasi ketenteraan berlarutan selama 11 hari yang dilancarkan rejim Zionis kira-kira empat bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

"Saya komited untuk merealisasikan usaha pembangunan semula wilayah Gaza," ujarnya. - Agensi