X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Hospital Serdang, Selayang dijangka bukan lagi hospital Covid-19

Dr Siti Mariah berkongsi data terkini perkembangan Covid-19 di Selangor.
A
A

SHAH ALAM - Kadar kes positif Covid-19 di Selangor mula menunjukkan penurunan bermula awal Ogos.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, purata kes harian sepanjang minggu epidemiologi (ME) ke-37 adalah sekitar 2,400 kes.

Menurutnya, purata kes harian tujuh hari pada 21 September pula berjumlah 2,199 kes atau purata insidens harian dalam tempoh sama bersamaan 32.8 peratus bagi 100,000 populasi.

"Trend kes harian di Selangor menunjukkan persamaan dengan trend di peringkat nasional iaitu kedua-dua trend menunjukkan penurunan kes purata dalam tujuh hari.

"Kadar kebolehjangkitan adalah di bawah satu peratus iaitu 0.85 peratus, di bawah paras (kadar kebolehjangkitan di peringkat) nasional," katanya kepada pemberita pada Rabu selepas mempengerusikan mesyuarat di Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNT) yang turut dihadiri Pengarah JKNT, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.

Dalam pada itu, Dr Siti Mariah memaklumkan trend kes yang menunjukkan penurunan itu adalah sangat jelas selagi gus menunjukkan Selangor berada di landasan sepatutnya.

"Ini adalah antara perkara yang rakyat Selangor kena faham bahawa inilah harga pengorbanan semua orang yang menjaga prosedur operasi standard (SOP) termasuk yang melengkapkan vaksinasi," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, data kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital juga turun malah dua hospital dijangka tidak lagi menerima pesakit Covid-19 dalam tempoh terdekat.

"Sebelum ini empat hospital menerima pesakit Covid-19 iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang, Hospital Selayang dan Hospital Serdang.

"Hospital Selayang dan Hospital Serdang kini sudah tidak dikategorikan sebagai hospital untuk pesakit Covid-19 sepenuhnya bermula pada pertengahan bulan ini.

"Sekarang kes Covid-19 hanya akan dirujuk ke Hospital Ampang dan Hospital Sungai Buloh malah pesakit Covid-19 ditempatkan di Taman Eskpo Pertanian Malaysia (MAEPS) juga semakin berkurangan," katanya.

Tambah Dr Siti Mariah, menjelang 30 Oktober nanti, beliau yakin hanya dua buah hospital akan digunakan untuk merawat pesakit Covid-19 iaitu Hospital Sungai Buloh dan Hospital Ampang manakala selebihnya berfungsi seperti hospital biasa.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!