X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

Sindiket dokumen perjalanan palsu didalangi warga asing tumpas

Antara cap dan dokumen-dokumen palsu yang ditemui dalam serbuan tersebut. Salah seorang suspek warga Pakistan yang ditahan.
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen dan cap keselamatan yang sudah bermaharajalela sejak tiga tahun lalu dengan tertangkapnya dua warga Pakistan pada Selasa.

Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dua lelaki terbabit ditahan dalam serbuan berasingan ke atas dua buah premis kediaman di Ampang dan Wangsa Maju awal pagi tadi.

"Kedua-dua mereka yang ditahan dipercayai menjalankan kegiatan ini sejak tiga tahun lalu dan menjadi perantara kepada pelanggan dalam kalangan warga asing yang ingin mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

"Bayaran yang dikenakan adalah antara RM 2,500 hingga RM 4,000 bagi setiap pasport," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Khairul Dzaimee berkata, pemeriksaan terhadap kediaman kedua-dua suspek berusia 32 dan 37 tahun menemui pelbagai dokumen dan cap keselamatan palsu.

"Pemeriksaan di premis pertama di Ampang menjumpai cap keselamatan Imigresen Malaysia, cap nama pegawai Imigresen, cap kedutaan asing, cap keluar dan masuk negara Pakistan.

"Turut ditemui surat kelulusan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dipalsukan, cap Suruhanjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian (UNHCR),cap hasil, cap bank dan pelbagai cap syarikat," katanya.

Tambahnya, serbuan di lokasi kedua di Wangsa Maju menemui cap nama pegawai Imigresen, cap pesuruhjaya sumpah, cap Majlis Agama Islam Narathiwat dan satu pasport India.

Dalam pada itu, menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai mempunyai rangkaian dengan beberapa lagi ejen warga asing termasuk beberapa orang warga tempatan yang sudah dikenalpasti.

"Imigresen sedang memburu suspek-suspek tersebut dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh melaporkan kepada Imigresen," katanya.

Tambah beliau, kedua-dua suspek ditahan di Depot Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk siasatan lanjut.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!