KPDNHEP, MAFI beri pinjaman mudah atasi kenaikan harga ayam

Dua kementerian bersetuju untuk meneruskan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan supaya isu harga ayam dapat diatasi secara holistik. - Foto Bernama
Dua kementerian bersetuju untuk meneruskan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan supaya isu harga ayam dapat diatasi secara holistik. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bersetuju untuk memberi kemudahan pinjaman mudah atau 'soft-loan' bagi membantu industri mengekalkan jumlah pengeluaran ayam yang mencukupi.

KPDNHEP dan MAFI dalam kenyataan bersama pada Rabu berkata, pemberian tersebut diharap dapat menangani isu peningkatan kos pengeluaran ayam berikutan kenaikan harga komponen makanan ayam yang diimport.

“Selain itu, kerajaan turut mempertimbangkan kawalan harga di semua peringkat disokong dengan pemberian subsidi kepada rantaian tertentu sebagai usaha menangani isu kenaikan harga ayam.

“Kerajaan juga bercadang untuk melaksanakan sistem permohonan permit (AP) bagi penjualan ayam sekiranya usaha ini tidak mendapat kerjasama daripada peniaga di semua peringkat.

“Pihak industri bersetuju untuk menurunkan lagi harga ayam di peringkat pengeluar dan ladang supaya harga di peringkat borong dan runcit juga dapat distabilkan sekali gus membantu pengguna menikmati harga ayam dengan harga berpatutan,” katanya.

Kenyataan bersama itu membabitkan Menteri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan, walaupun harga ayam kembali terkawal ketika ini, dua kementerian itu bersetuju untuk meneruskan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan supaya isu harga ayam dapat diatasi secara holistik.

Menurut mereka, KPDNHEP akan meneruskan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 serta akan mengambil tindakan tegas jika ada pihak sengaja mengambil keuntungan secara tidak munasabah atau mencatut terutama dalam situasi ini.

Artikel Berkaitan:

“Peniaga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1) AKHAP 2011 dan jika sabit kesalahan, peniaga boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 sekiranya perbadanan atau syarikat.

“Bagi bukan perbadanan atau individu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” jelas mereka.