X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

'Wan Besi' nafi bantu Sajat lari ke Thailand

Zuhair menyifatkan tuduhan terhadap anak guamnya yang didakwa terlibat membantu Sajat lolos ke negara jiran adalah tidak berasas sama sekali.
A
A

KANGAR - Seorang individu yang dikenali sebagai ‘Wan Besi’ menafikan bahawa beliau terlibat membantu usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali Nur Sajat lolos ke negara jiran menerusi Padang Besar.

Peguam Zuhair Ahmad Zakuan yang mewakili lelaki berusia 51 tahun itu mendakwa bahawa anak guamnya hanya seorang penternak lembu dan sama sekali tidak terbabit dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang negara itu.

“Anak guam saya baru sahaja selesai menjalani pembedahan jantung dan beliau kini mengusahakan ternakan lembu. Penduduk setempat mengenali beliau sebagai Wan Besi,” katanya kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Polis (IPD) Kangar pada Rabu.

Sebuah akhbar tempatan berbahasa Melayu mendakwa bahawa Wan Besi sebagai pengkhianat negara kerana membantu usahawan kosmetik itu melarikan diri ke Thailand.

Zuhair menyifatkan bahawa tuduhan itu adalah berat dan tidak berasas sama sekali dan anak guamnya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Tujuan anak guam saya datang ke sini (IPD Kangar) untuk membuat penjelasan serta membersihkan namanya dan saya akan berbincang dengan Wan Besi sama ada ingin membuat laporan polis selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintendan Mohd Anuar Junoh ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak mengeluarkan sebarang waran tangkap kepada individu tersebut kerana kes Muhammad Sajjad dikendalikan oleh Bukit Aman.

Sebelum ini media, melaporkan polis dalam proses memohon untuk mengekstradisi Muhammad Sajjad daripada pihak berkuasa Thailand.

Muhammad Sajjad diburu oleh pihak berkuasa Malaysia selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan kerana gagal hadir pada sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Pada 15 Jun lalu, polis turut menjejaki Muhammad Sajjad bagi membantu perbicaraan kes penipuan pertukaran nama dan jantina pada kad pengenalan di Mahkamah Ampang, Selangor. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Polis lengkapkan dokumentasi bawa pulang Sajat dari Thailand

Polis sahkan Imigresen Thailand tahan Sajat


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!