Isu pindah RM13 juta: Mukhriz cabar Sanusi lapor polis, SPRM

Datuk Seri Mukhriz Mahathir
Datuk Seri Mukhriz Mahathir
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dicabar melaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pemindahan wang RM13 juta milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah ke luar negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyarankan Muhammad Sanusi membuat laporan supaya satu siasatan menyeluruh boleh dibuat berhubung dakwaan itu.

Mukhriz yang juga bekas Menteri Besar Kedah juga akan membuat pertimbangan untuk tindakan susulan berhubung dakwaan Menteri Besar Kedah tersebut berdasarkan pandangan penasihat undang-undang.

"Tentunya, sebarang kenyataan dibuat mestilah ada bukti tetapi apabila dakwaan liar dibuat dan dilaporkan secara meluas, ia memberi gambaran buruk kepada saya sendiri, parti diwakili dan kerajaan terdahulu.

"Sedangkan banyak perkara yang tidak jelas dalam kenyataan itu namun ia telah menimbulkan satu persepsi apabila lihat nama saya, angka RM13 juta, pemindahan wang dan Kanada, maka ada orang akan buat kesimpulan bahawa saya curi duit MBI," katanya pada sidang akhbar melalui aplikasi Zoom pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu MBI Kedah: Sanusi sedia beri kerjasama siasatan SPRM

Sanusi dedah wang MBI Kedah RM13 juta dipindah ke akaun luar negara

Mukhriz berkata, beliau menerima banyak mesej dan panggilan daripada rakan termasuk media sejak Selasa hingga pagi Rabu yang bertanyakan topik yang hangat diperkatakan tersebut walhal dakwaan itu tiada asasnya.

"Dalam sidang akhbar Menteri Besar pada hari ini (Rabu), keadaan terbalik pula apabila Muhammad Sanusi menafikan dia menyatakan wang dimasukkan akaun di Kanada, kemudian dia menyatakan secara peribadi saya tidak tahu tentang perkara itu," katanya.

Menurut Mukhriz, dia mengambil serius kenyataan Muhammad Sanusi dan membuat saranan supaya laporan dibuat supaya siasatan boleh dilakukan secara menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, Muhammad Sanusi diminta memohon maaf dan menarik balik dakwaan tersebut sekiranya tidak mempunyai bukti dan membuat dakwaan tanpa asas.

Sebelum itu, Muhammad Sanusi memaklumkan kesediaannya memberikan kerjasama kepada SPRM berhubung pemindahan wang RM13 juta milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah ke luar negara.