X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Covid-19: Jumlah kes sembuh atasi kes baharu

Dr Noor Hisham
A
A

SHAH ALAM - Jumlah harian pesakit Covid-19 yang pulih terus merekodkan angka lebih tinggi daripada jangkitan baharu apabila 19,702 kes sembuh dicatatkan pada Rabu berbanding 14,990 kes baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih Covid-19 kepada sebanyak 1,917,088 kes dengan kadar kesembuhan 89.5 peratus.

“Kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) adalah seramai 1,115 kes dengan 233 daripadanya adalah kes disyaki dan masih dalam siasatan.

“Sementara sebanyak 618 kes memerlukan bantuan pernafasan dengan 225 daripadanya merupakan kes disyaki dan masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dr Noor Hisham berkata, daripada keseluruhan kes baharu yang direkodkan pada Rabu, 338 kes atau 2.3 peratus adalah dalam kategori tiga, empat dan lima, manakala 14,652 kes atau 97.7 peratus adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.

Beliau berkata, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt) di Malaysia pada Selasa adalah 0.95 dengan sembilan negeri merekodkan nilai melebihi angka tersebut iaitu Pahang (1.05), Sarawak (1.04), Terengganu (1.02), Perak (1.01) manakala Johor, Kelantan dan Perlis masing-masing 0.99.

"Turut melebihi nilai R-naught nasional ialah dua lagi negeri iaitu Pulau Pinang dan Putrajaya berkongsi nilai yang sama iaitu 0.96, manakala Sabah (0.9), Kedah dan Melaka masing-masing 0.88, Selangor (0.87), Negeri Sembilan (0.86), Kuala Lumpur (0.83) serta Labuan (0)," katanya.

Dalam pada itu, katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenalpasti 26 kluster baharu yang membabitkan 13 kluster tempat kerja, tujuh kluster komuniti, tiga kluster pendidikan lain, manakala Institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pendidikan tinggi dan kumpulan berisiko tinggi masing-masing mencatat satu kluster.

“Jumlah keseluruhan kluster adalah 5,354, yang mana 4,048 daripadanya telah diisytiharkan tamat dan selebihnya adalah 1,306 kluster masih aktif,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!