Jangan 'berlari' ke PPV, bekalan vaksin untuk pelajar mencukupi

Datuk Dr Noor Azmi Ghazali
Datuk Dr Noor Azmi Ghazali
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Ibu bapa dinasihati agar tidak menyerbu pusat pemberian vaksin (PPV) bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 terhadap anak-anak mereka.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, bekalan vaksin adalah mencukupi untuk memenuhi keperluan 3.2 juta pelajar.

"Saya nak nasihat kepada ibu bapa, usah panik, resah dan jangan berlari ke PPV," katanya dalam sidang akhbar di kementeriannya pada Rabu.

Menurutnya, pihaknya mensasarkan kesemua pelajar lengkap suntikan dos vaksin sebelum hujung tahun ini.

"Kita akan bergerak pantas dalam memvaksinasi remaja," katanya.

Beliau berkata, sehingga 21 September, sebanyak 5,964 buah sekolah telah berdaftar dengan portal Vaksin Anak Ku.

"Untuk makluman, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) telah dimulakan lebih awal di Sarawak, Labuan, Sabah, Kelantan, Johor dan Kedah.

"Bagi tempoh sama, seramai 410,489 remaja telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 dengan Sabah merekodkan bilangan tertinggi iaitu 140,890 remaja.

Artikel Berkaitan:

"Sarawak (85,291), Kedah (31,294), Kelantan (17,413), Johor (27,936) dan Labuan (2,515)," katanya.

Ditanya mengenai kesan samping yang dihadapi pelajar selepas menerima suntikan pertama, beliau berkata, sehingga kini tiada kesan serius yang direkodkan.

Sementara itu, Dr Noor Azmi yang juga Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (CITF-A) berkata, suntikan dos vaksin tidak akan diberikan kepada pelajar yang mengalami alergi serius.

"Setakat ini, hanya Pfizer diberikan kelulusan bersyarat. Jika ada yang mempunyai alergi, suntikan tidak akan diberikan," katanya.