Dua beradik cedera ditimpa atap diterbangkan ribut

Pembantu kedai makan, Nurul Irdani Azmi, 36, menunjukkan bumbung rumahnya yang rosak dipukul ribut dalam kejadian pada Selasa.
Pembantu kedai makan, Nurul Irdani Azmi, 36, menunjukkan bumbung rumahnya yang rosak dipukul ribut dalam kejadian pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Dua beradik perempuan yang sedang berehat di ruang tamu rumah mereka di Kampung Kijang di sini cedera selepas ditimpa atap yang diterbangkan ribut pada petang Selasa.

Kejadian pada jam 6 petang itu mengakibatkan, Nur Aqilah Khairunisa Mohd Shafien, 13, cedera pada belakang badan manakala adik bongsunya, Nur Auni Afina, 6, pula bengkak pada kepala.

Seorang lagi adik-beradik mereka, Nur Aina Batrisya, 12, dan bapa, Mohd Shafien Nordin, 37, bagaimanapun tidak cedera dalam kejadian itu.

Ibu mereka, Nurul Irdani Azmi, 36, berkata, dia yang berada di tempat kerja di Kota Bharu bergegas pulang sebaik mengetahui kejadian berkenaan apabila dihubungi oleh Nur Aqilah Khairunisa.

“Dalam kejadian itu, suami berada di luar rumah sedang membaiki motosikal menyedari ribut dan terdengar bunyi kuat serpihan jatuh disusuli tangisan dua beradik di dalam rumah.

“Dia berlari masuk mendapatkan dua beradik itu dan mendapati mereka cedera ringan manakala bumbung bahagian dapur, bilik dan ruang tamu didapati tercabut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kijang, di sini, pada Rabu.

Keluarga itu sebelum itu menerima kunjungan daripada Pengerusi Pertubuhan Suri Prihatin Pengkalan Chepa, Datin Seri Nor Azizah Sulaiman yang turut menyampaikan sumbangan peribadi bagi meringankan beban yang ditanggung.

Menurut Nur Irdani, barangan di dalam rumah basah terkena hujan menyebabkan mereka sekeluarga bermalam beralaskan plastik dengan keadaan rumah tidak berbumbung pada malam Selasa.

Artikel Berkaitan:

“Saya hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan manakala suami kerja mekanik.

“Kami belum cukup duit untuk membaik pulih kerosakan di rumah pusaka ini namun tetap bersyukur kerana kami selamat daripada cedera teruk,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Azizah berkata, pihaknya dan penghulu mukim akan membantu keluarga berkenaan bagi mendapatkan peruntukan untuk membaiki atap rumah berkenaan.

“Hari ini kami sumbangankan sedikit wang tunai bagi meringankan beban yang ditanggung,” katanya.