Enam ditahan, syabu bernilai RM3.87 juta dirampas

Mohd Shuhaily menunjukkan dadah yang dirampas.
Mohd Shuhaily menunjukkan dadah yang dirampas.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang berjaya mematahkan sindiket pengedaran dadah dengan merampas 107.5 kilogram (kg) syabu bernilai RM3.87 juta di jeti pendaratan ikan di Daerah Barat Daya, pada Isnin lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, serbuan dibuat hasil risikan selama seminggu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang dan Pasukan Polis Marin.

Menurutnya, serbuan yang dilakukan jam 2.30 petang itu menangkap dua lelaki tempatan dan tiga lelaki warga asing yang dipercayai sedang bersiap sedia untuk menghantar bekalan dadah ke negara jiran dengan menggunakan sebuah bot.

"Pemeriksaan dibuat menemukan 100 bungkus dadah yang dibungkus dalam bungkusan teh Cina dan dipercayai untuk dibawa ke luar negara iaitu negara jiran kerana pasaran syabu lebih mahal di sana.

"Susulan daripada tangkapan itu, polis melakukan satu lagi serbuan di kawasan Bukit Tambun di Daerah Seberang Perai Selatan dan menahan seorang lelaki warga tempatan untuk membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar di sini pada Rabu.

Mohd Shuhaily berkata, siasatan mendapati sindiket pengedaran dadah terbabit baru sahaja bergiat aktif sejak September lalu dengan memasarkan dadah ke negara jiran.

Selain dadah, beliau berkata polis turut merampas dua buah kereta, dua buah motosikal dan wang tunai RM1,000.

"Ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati kesemua suspek negatif daripada pengaruh dadah dan semakan dibuat hanya seorang sahaja daripada mereka yang mempunyai rekod lampau bersabit kesalahan Imigresen.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua suspek berusia di antara 30 hingga 50 tahun itu kini direman selama tujuh hari untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati sekiranya didapati bersalah,"katanya.

Mohd Shuhaily berkata, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 537,500 penagih dadah dan pihaknya khusus Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan terus meningkatkan usaha bagi memerangi kegiatan pengedaran dadah di negeri ini.