Penyertaan murid dalam PdPR meningkat

Data pelaporan menunjukkan penglibatan murid sekolah rendah meningkat sebanyak 12.1 peratus iaitu daripada 87.1 peratus kepada 99.2 peratus bagi tempoh berkenaan.
Data pelaporan menunjukkan penglibatan murid sekolah rendah meningkat sebanyak 12.1 peratus iaitu daripada 87.1 peratus kepada 99.2 peratus bagi tempoh berkenaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah penyertaan murid dan pelajar sekolah yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) menunjukkan peningkatan bagi tempoh antara 20 Januari hingga 30 Ogos lalu.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, data pelaporan menunjukkan penglibatan murid sekolah rendah meningkat sebanyak 12.1 peratus iaitu daripada 87.1 peratus kepada 99.2 peratus bagi tempoh berkenaan.

“Penglibatan pelajar sekolah menengah pula meningkat sebanyak 19.3 peratus iaitu daripada 78 peratus kepada 97.3 peratus,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Rabu.

Mengenai usaha yang dilakukan untuk memenuhi keperluan dan kelangsungan pendidikan murid di sekolah khususnya melalui PdPR, Mohd Radzi berkata, KPM telah melaksanakan penjajaran kurikulum baharu menerusi beberapa program.

Katanya ia merangkumi program Pemerkasaan Pelaksanaan Kurikulum, penerusan pentaksiran bilik darjah (PBD) dan pembangunan Sistem Pelaporan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (SPdPR).

Sementara itu, Mohd Radzi berkata, KPM juga terus memperkasakan kandungan TV Pendidikan bagi membantu proses pembelajaran murid khususnya mereka yang tidak mempunyai akses kepada internet dan peranti yang sesuai.

“Ini merupakan pendekatan berterusan dari hari ke hari apabila kita pastikan supaya sekurang-kurangnya anak ini mendapat pendedahan pada ilmu yang sepatutnya daripada guru terbaik dari seluruh negara.

“Kita juga juga terus memperkasakan pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) yang mengandungi pelbagai sumber pendidikan.

Artikel Berkaitan:

“Sehingga kini lebih 3,000 video kurikulum, 324 video pedagogi dan juga 1,761 video TV Didik telah kita naikkan,” katanya.