Gabungan NGO desak selesai isu tahanan tanpa kewarganegaraan

Hishamuddin (dua dari kanan) bersama wakil gabungan NGO menyerahkan memorandum kepada KDN di sini pada Rabu.
Hishamuddin (dua dari kanan) bersama wakil gabungan NGO menyerahkan memorandum kepada KDN di sini pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Tiga gabungan badan bukan kerajaan (NGO) mengemukakan lima tuntutan bagi menyelesaikan isu tahanan yang tidak mempunyai kewarganegaraan atau 'stateless' yang ditahan di depoh tahanan Imigresen Sabah.

Setiausaha Agung Organisasi Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, antara tuntutan dibuat mereka adalah memohon Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi tarikh akhir bagi penyelesaian isu berkenaan.

"Kerajaan Persekutuan dan Sabah diminta melihat isu ini dengan kacamata kemanusiaan sepenuhnya tanpa kepentingan politik," katanya.

Menurutnya, satu tarikh tetap perlu dinyatakan dengan jelas sama ada dua atau tiga tahun dari sekarang bagi menyelesaikannya.

"Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin melalui hansard Parlimen memaklumkan akan mencari jalan penyelesaian tuntas mengenai isu ini.

"Tapi persoalannya bila? Dua, tiga tahun? Atau 10 tahun lagi? Kami tidak sanggup lagi melihat ada lagi manusia yang dizalimi dan dinafikan hak mereka untuk hidup sebagai manusia," katanya.

Beliau berkata, gabungan NGO yang turut terdiri daripada Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (Semboyan) dan Pertubuhan Ikatan Sahabat-sahabat Pejuang Nusantara (Pejuang Nusantara) turut mendesak KDN agar mengeluarkan arahan jelas kepada semua jabatan dan agensi penguat kuasa terhadap golongan berkenaan serta-merta sehingga tarikh akhir yang dijanjikan oleh pihak kerajaan.

"Ia bertujuan supaya dalam tempoh tersebut tidak ada lagi dari golongan ini yang menjadi mangsa keadaan mereka sekarang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hishamuddin berkata, kesemua tahanan tanpa kewarganegaraan haruslah dibebaskan serta-merta atas prinsip kemanusiaan.

"Kalau di Cuba ada penjara Guantanamo, tetapi penjara neraka di bumi Malaysia," katanya dalam ucapan penyerahan memorandum kepada KDN di hadapan Kompleks D dekat sini pada Rabu.

Memorandum tersebut diserahkan kepada Setiausaha Bahagian Unit Komunikasi Korporat KDN, Shahrulmizan Rahmat.

Ujarnya, KDN dan kerajaan Sabah perlu memberi identiti khusus kepada golongan tanpa kewarganegaraan mengikut kelayakan mereka dengan kadar segera.

"Ternyata selepas beberapa dekad dan selepas 58 tahun penubuhan Malaysia, isu ini masih belum menemui jalan keluar," katanya.

Tambah beliau, kebuntuan itu menyebabkan negara mengalami krisis kemanusiaan yang jelas melalui penambahan golongan individu tanpa kewarganegaraan ketara terutama di Sabah.

"Kami meminta semua golongan ini tanpa melihat status dapat diberikan hak untuk hidup sebagai manusia dengan memlilki identiti yang jelas sebagaimana saranan Menteri Dalam Negeri sendiri," katanya.

Selain itu, gabungan NGO tersebut turut mencadangkan satu pas tunggal dikeluarkan kepada pelarian di Sabah.

"Kami mengemukakan cadangan perlaksanaan satu pas tunggal bagi golongan pelarian di Sabah dengan memurnikan rekod data warga asing yang dijalankan oleh pihak Jabatan Ketua Menteri

dan Pasukan Petugas Khas, Majlis Keselamatan Negara dengan Jabatan Imigresen Malaysia Sabah.

"Kami percaya dengan hanya melaksanakan satu pas tunggal saja iaitu Pas IMM13 adalah pilihan yang tepat dengan penambahan ciri-ciri keselamatan dan kawalan rekod pas yang lebih baik.

Tambahan pula dengan kos RM90 setahun, adalah satu kadar yang mampu ditanggung mereka dan sekurang- kurangnyanya boleh memberikan hasil kepada negara berbanding pas pelarian lain yang telah diberikan percuma sebelum ini," katanya.