X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

Bajet 2022: Kerajaan, pembangkang mula rundingan

Ismail Sabri (tengah) ketika sesi Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik di antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan di Bangunan Parlimen pada pada 13 September lalu. -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Persekutuan telah mula mengadakan sesi rundingan bersama pihak pembangkang sebelum Bajet 2022 dibentangkan di Parlimen, bulan depan.

Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa berkata, kerajaan komited untuk berbincang bersama pihak pembangkang susulan termeterai memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September lalu.

Beliau berkata, ia antaranya bagi memastikan cadangan inisiatif dan langkah-langkah Bajet 2022 memberi keutamaan kepada kesihatan dan kebajikan rakyat serta yang berkaitan dengan kelangsungan perniagaan.

“Di atas semangat kesepakatan bersama terutama dalam usaha untuk bangkit semula daripada kesan Covid-19 dan memulihkan semula negara, kerajaan berharap Bajet 2022 yang dirunding kelak akan berjalan dengan lancar dan dapat dipersetujui secara bersama,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Rabu.

Dalam pada itu, Yamani Hafez berkata, Kementerian Kewangan buat pertama kalinya mengeluarkan Kenyataan Pra-Bajet (KPB) bagi Bajet 2022 pada 31 Ogos lalu untuk meningkatkan ketelusan proses merangka inisiatif bajet selain membina keyakinan awam terhadap pengurusan fiskal negara terutama dalam kalangan pelabur.

Menurutnya, KPB merupakan satu daripada transformasi yang dilaksanakan kerajaan yang bermatlamat menyediakan peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk memberi maklum balas ke arah perangkaan sebuah bajet yang memenuhi keperluan rakyat serta selaras dengan dasar dan objektif negara.

Selain itu, Kementerian Kewangan juga sedang giat melaksanakan pelbagai sesi libat urus dengan pemain industri dan badan bukan kerajaan termasuk jelajah ke negeri-negeri bagi mendengar maklum balas serta cadangan.

Yamani Hafez berkata, Bajet 2022 akan memberi tumpuan antaranya bagi melindungi dan memulihkan kehidupan dan mata pencarian serta membina semula daya ketahanan negara.

Sementara itu, mengenai cadangan pengecualian bayaran faedah untuk moratorium pinjaman bank, beliau berkata, kerajaan masih membincangkan perkara itu dengan institusi perbankan kerana ia melibatkan keputusan komersial antara pihak bank, lembaga pengarah dan pemegang saham masing-masing.

Berhubung cadangan menaikkan had pengeluaran i-Citra, Yamani Hafez berkata, ia perlu diperhalusi dan dikaji secara menyeluruh, selain mengambil kira soal mengimbangkan antara keperluan semasa dan kepentingan simpanan persaraan dengan negara dijangka mengalami penuaan penduduk pada 10 ke 15 tahun akan datang. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!