Tambah baik dokumen SKN 2.0 dalam peringkat akhir

Affendi memberi tabik hormat ketika memeriksa Kawalan Kehormatan Utama pada sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia Ke-88 di Padang Kawad Markas PLDTD Kem Segenting, pada Rabu. - Foto Bernama
Affendi memberi tabik hormat ketika memeriksa Kawalan Kehormatan Utama pada sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia Ke-88 di Padang Kawad Markas PLDTD Kem Segenting, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PORT DICKSON - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang dalam peringkat akhir penambahbaikan dokumen Strategi Ketenteraan Negara (SKN) 2.0 yang mendukung kuasa negara ke arah Malaysia yang selamat, berdaulat dan makmur, kata Panglima ATM, Jen Tan Sri Affendi Buang.

Beliau berkata, SKN 2.0 berkenaan dirumus untuk memberi pilihan ketenteraan berjulat luas dalam menangani krisis, konflik dan peperangan yang berkemungkinan boleh berlaku kepada negara.

Menurutnya, sinergi elemen Whole of Government and Whole of Society (WoGos) turut diguna pakai dalam reka bentuk mekanisme pertahanan serta menjadi panduan utama kepada pembangunan elemen ketenteraan kuasa negara dan dasar negara yang lain.

“SKN 2.0 ini juga memberi tumpuan kepada reformasi ‘Angkatan Masa Hadapan’ melalui ciri-ciri yang meliputi kebersamaan, kebolehoperasian, berasaskan teknologi, keupayaan untuk beroperasi serentak dalam dua wilayah dan berorientasikan misi.

“Reformasi Angkatan Masa Hadapan ini hendaklah dilaksanakan secara terperinci melalui pendekatan reka bentuk yang dipacu oleh hala tuju jelas serta pembangunan angkatan menggabungkan keseluruhan mekanisme seperti sumber manusia," katanya ketika menyampaikan perutusan sempena Sambutan Hari ATM ke-88 di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelan tindakan pembangunan angkatan (ACE 30) baharu itu merangkumi penjajaran, penentukuran serta proses perkembangan secara progresif dan garis masa pelaksanaannya bermula 2020 hingga 2030.

Bagaimanapun, katanya, perancangan, pembangunan dan perolehan pertahanan itu hendaklah dilaksana secara menyeluruh kerana kegagalannya akan memerangkap ATM menjadi sebuah angkatan lompong malah lebih buruk lagi hasrat menjadi ACE 30 terhalang dan berkemungkinan besar tidak tercapai.

Sementara itu, mengenai hal ehwal kebajikan warganya, Affendi berkata, satu kajian terhadap skim perkhidmatan anggota bagi melihat semula kadar pemberian pencen kepada anggota yang telah berkhidmat selama 12, 15 dan 18 tahun sedang dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

“Ini adalah inisiatif baharu kerana skim pencen sebelum ini terpakai kepada mereka yang berkhidmat selama 21 tahun dan ke atas sahaja selain sedang mengusahakan inisiatif bagi memperkasakan para isteri dan keluarga warga ATM,” katanya.

Beliau berkata, ATM dan Kementerian Pertahanan akan terus meneroka inisiatif terbaharu demi memperbaiki taraf hidup veteran termasuk program Kerjaya Kedua dan program Keistimewaan membabitkan kerjasama majikan dan badan korporat di negara ini.

Dalam perkembangan lain, Affendi turut menzahirkan penghargaannya kepada petugas Op Benteng yang cekal mengawal persempadanan negara supaya ia tidak dibolosi anasir asing sewenang-wenangnya selain menasihati anggota untuk melaksanakan tugas dengan jujur dan amanah.

Seramai 2,500 pegawai dan anggota ATM terlibat dalam sambutan Hari ATM bertemakan ‘Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama’ secara fizikal mengikut prosedur operasi standard (SOP) tanpa kehadiran penonton bagi mengurangkan penularan Covid-19 dengan Latihan Kesiagaan Aset dan Kompetensi ATM serta Perbarisan Statik Tempur.

Dalam pelaksanaan latihan kesiagaan yang dijalankan tersebut, diperlihatkan keupayaan aset serta kompentensi ATM yang melibatkan Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Saya ucapkan syabas atas pertunjukan pada awal tadi, itu adalah satu pertunjukan yang menggerunkan. Sekarang saya boleh katakan bahawa kamu semua sudah bersedia untuk demonstrasi berkelas dunia," katanya. - Bernama