Terminal Jeti Kuala Kedah dibuka semula, lonjak kemasukan pelancong

Pembukaan semula operasi Terminal Jeti Penumpang Kuala Kedah pada Khamis ini selepas PKPD ditamatkan bakal melonjakkan kehadiran pelancong dan aktiviti ekonomi negeri. - Gamber kecil: Mohd Firdaus
Pembukaan semula operasi Terminal Jeti Penumpang Kuala Kedah pada Khamis ini selepas PKPD ditamatkan bakal melonjakkan kehadiran pelancong dan aktiviti ekonomi negeri. - Gamber kecil: Mohd Firdaus
A
A
A

ALOR SETAR – Pembukaan semula operasi Terminal Jeti Penumpang Kuala Kedah pada Khamis ini selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ditamatkan bakal melonjakkan kehadiran pelancong dan aktiviti ekonomi negeri.

Exco Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Mohd Firdaus Ahmad berkata, ia berikutan sebelum ini pelancong memilih Perlis untuk ke Langkawi ketika gelembung pelancongan Langkawi dilaksanakan pada 16 September susulan pelaksanaan PKPD di Kuala Kedah.

Menurutnya, tindakan itu menyebabkan Kedah mengalami sedikit kerugian dari aspek ekonomi, namun pihaknya percaya setelah pintu masuk ke Langkawi menerusi Kuala Kedah dibuka, kerancakan ekonomi setempat kembali pulih.

“Penduduk Kuala Kedah turut terkesan apabila aktiviti ekonomi setempat tidak dapat berlaku, sebaliknya ia beralih ke Kuala Perlis.

"Setelah jeti Kuala Kedah dibuka semula, penduduk setempat akan dapat menikmati manfaat pembukaan Langkawi untuk rakyat Kedah,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Azhar Ibrahim (Pas-Ayer Hitam) berkaitan kesan penutupan pintu masuk Kuala Kedah ke Langkawi di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Rabu.

Mohd Firdaus memaklumkan unjuran kemasukan pelancong domestik ke Pulau Langkawi sehingga penghujung tahun ini dianggarkan mencecah 200,000 orang berdasarkan sambutan memberangsangkan program gelembung pelancongan Langkawi.

“Bagi pelancong luar negara, masih lagi tidak dibenarkan. Perbincangan antara kerajaan negeri dan Persekutuan masih berjalan, antara cadangan termasuk membuka Langkawi kepada pelancong luar negara bermula Januari 2022,” katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh seminggu Langkawi dibuka kepada pelancong, tiada jangkitan Covid-19 dalam kalangan pelancong dikesan sebaliknya kes positif melibatkan kes tempatan.

Artikel Berkaitan:

“Ini menunjukkan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan di semua pintu masuk Langkawi memuaskan dan berkesan dalam mengekang penularan pandemik yang dibawa oleh pelancong.

"Syarat kemasukan pelancong asing pula lebih ketat agar lebih mudah untuk dikawal. Mereka perlu menjalani tempoh kuarantin lima hari selepas tiba di Langkawi dan selepas itu ujian RTK dilakukan dan perlu disahkan negatif,” katanya.

Tambah Mohd Firdaus, kawasan pelancongan pula ditentukan oleh pakej yang ditawarkan dan pelancong asing perlu mengunjungi tempat yang disediakan dan tidak boleh sewenangnya ke lokasi pelancongan lain tanpa mendapat kelulusan pengurusan pelancongan.

“Ini antara langkah pencegahan yang diambil bagi mengelak tercetusnya kluster baharu yang berpunca daripada pelancong asing,” katanya.