4 golongan diberi laluan khas: Johor sambut baik

Mohd Khuzzan (duduk, dua kiri) ketika merasmikan mesyuarat PIBG SK Padang Sari, Batu Pahat.
Mohd Khuzzan (duduk, dua kiri) ketika merasmikan mesyuarat PIBG SK Padang Sari, Batu Pahat.
A
A
A

BATU PAHAT - Kerajaan Johor menyambut baik langkah yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan untuk memberi laluan khas kepada atlet, OKU, orang asli dan mereka yang berpendapatan rendah bagi melanjutkan pengajian ke universiti awam.

Exco Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, beliau berharap atlet di negeri ini dapat memanfaatkan peluang tersebut agar karier sukan dan pencapaian akademik mereka berada dalam keadaan seimbang.

“Dalam masa terdekat ini saya akan berbincang dengan dua universiti awam di negeri ini iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi membincangkan dengan lebih lanjut berkenaan perkara ini.

“Perbincangan ini bagi membolehkan atlet di negeri ini melanjutkan pengajian di peringkat diploma atau ijazah terutama dalam bidang sains sukan atau kursus bersesuaian,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Semerah berkata kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Padang Sari, semalam.

Turut hadir, Pegawai Seranta Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Johor yang juga Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sri Padang Sari, Mohd Yusof Ahmad.

Menurutnya, selain UTM dan UTHM, beliau juga akan mengadakan kerjasama dengan Yayasan Pendidikan Johor (YPJ) bagi melahirkan golongan atlet yang mempunyai ilmu, sebagaimana yang diamalkan di negara maju.

“Sebenarnya, apa yang diumumkan Kementerian Pendidikan merupakan khabar baik kepada atlet dan saya harap inisiatif ini menarik lebih ramai pelajar sekolah untuk cenderung menjadi ahli sukan atau atlet.

Artikel Berkaitan:

“Keadaan sekarang telah berubah kerana pelajar ke sekolah bukan sahaja untuk menuntut ilmu tetapi menjadi modal insan yang berjaya dan aktif, serta seimbang dalam kedua-dua bidang iaitu akademik juga kegiatan kokurikulum,” katanya.

Pada masa sama, beliau meminta kerjasama daripada guru dan ibu bapa terutamanya di negeri ini bagi melahirkan pelajar yang mampu mengharumkan nama negara secara serentak di dalam bidang sukan dan akademik pada masa akan datang.

Sabtu lalu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik memaklumkan terdapat empat golongan yang akan diberikan laluan khas tanpa perlu bersaing dengan kumpulan arus perdana untuk melanjutkan pelajaran di universiti awam.