Saksi mengaku jual jam mewah RM40,000 kepada Zarul

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (kanan) bersama peguamnya Gobind Singh Deo (kiri) tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu bagi perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang. - Foto Bernama
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (kanan) bersama peguamnya Gobind Singh Deo (kiri) tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu bagi perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang broker jam mewah memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, bahawa beliau menjadi broker menjual jam tangan Maurice Lacroix bernilai RM40,000 untuk pelanggannya dikenali sebagai Datuk Zarul, beberapa tahun lalu.

G Rajan, 66, berkata demikian ketika prosiding hari kelapan kes bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng atas tuduhan menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta, bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang di hadapan Hakim Azura Alwi.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, Rajan mengakui Zarul memintanya untuk mendapatkan jam tangan Maurice Larcoix.

Bagaimanapun saksi pendakwaan kelima itu berkata, tidak dapat mengingati tarikh pembelian jam itu dengan tepat dan hanya menyebut sekitar tahun 2015 atau 2016 lalu.

Wan Shaharuddin: Adakah anda jumpa jam seperti mana yang diminta oleh Datuk Zarul?

Rajan: Ya

Wan Shaharuddin: Berapa harga anda beli jam itu?

Rajan: RM20,000.

Artikel Berkaitan:

Wan Shaharuddin: Berapa harga anda jual kepada Datuk Zarul?

Rajan: RM40,000.

Wan Shaharuddin: Kita tahu anda seorang ahli perniagaan tetapi kenapa beza harga beli dengan jualan begitu ketara?

Rajan: Apabila menyentuh produk mewah, memang itu harganya. Harga ‘dealer’ RM20,000 manakala harga ‘retail’ RM40,000.

Ketika soal balas oleh peguam, Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng, Rajan berkata, dia mengenali Zarul selama 10 tahun.

“Datuk Zarul akan suruh saya cari jam tangan yang baik, ada masa saya bawa tiga, kadang-kala sehingga 10 buah jam.

“Beliau cakap mahu beli untuk kakitangannya dan keperluan sendiri,” katanya.

Gobind: Anda pernah jumpa Guan Eng?

Rajan: Tak pernah.

Gobind: Jadi anak guam saya tiada kaitan dengan jam itu?

Rajan: Tiada urusan dengan Guan Eng.

Prosiding kes berakhir menjelang tengah hari Rabu selepas pihak pendakwaan memaklumkan, bahawa Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong dan Guan Eng selaku Ahli Parlimen Bagan perlu menghadiri sidang Parlimen.

Pagi Rabu, Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow iaitu Muhamad Azrai Mohamad Zaini, 39, selesai memberi keterangan dan disoal balas oleh pihak pembelaan.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 61, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta, dengan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, yang bernilai RM6,341,383,702.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng dituduh meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah, bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama, dan perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara jam 12.30 tengah malam hingga 2 pagi pada Mac 2011.

Ahli Parlimen Bagan itu juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut, yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.