Syarikat abai keselamatan pekerja didenda RM30,000

Sebuah syarikat pembuatan acuan plastik didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi pada Rabu kerana mengabaikan keselamatan pekerja.
Sebuah syarikat pembuatan acuan plastik didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi pada Rabu kerana mengabaikan keselamatan pekerja.
A
A
A

BANDAR BARU BANGI – Kegagalan sebuah syarikat pembuatan acuan plastik memberikan latihan kepada pekerja ketika bertugas sehingga menyebabkan kematian membawa padah apabila syarikat itu didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.

Ryoka (Malaysia) Sdn Bhd dijatuhi hukuman itu selepas wakil syarikat berkenaan, S Letchumi Kaanthan yang merupakan Pengurus Sumber Manusia selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Effandi Nazila Abdullah.

Mahkamah memerintahkan OKS syarikat itu dipenjara selama enam bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu didakwa sebagai majikan, gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja bagi pekerjanya iaitu Azman Abdullah, 29, dengan gagal mengadakan latihan bagi kerja-kerja di Proses Injection Moulding (acuan suntikan) sehingga menyebabkan kemalangan maut.

Kesalahan itu dilakukan di syarikat tersebut yang beralamat di Bangi Industrial Estate Seksyen 13, di sini pada jam11.45 pagi, 5 November 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(2)(c) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 19 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksima RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Semasa prosiding, peguam R Maran yang mewakili syarikat itu merayu agar OKS dikenakan hukuman ringan dengan alasan syarikat tersebut mengaku bersalah dengan pertuduhan tersebut.

"Sejak lebih 30 tahun syarikat beroperasi, ini adalah kali pertama kejadian (kematian) berlaku.

Artikel Berkaitan:

“Pada prosiding hari ini pengarah urusan syarikat itu datang ke mahkamah untuk mendengar sendiri prosiding kes malah selepas kejadian itu berlaku, pampasan diberi kepada keluarga mangsa,” katanya.

Bagaimanapun Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Selangor (JKKP Selangor), Idris Abdul Rahman mencadangkan kepada mahkamah agar OKS dikenakan hukuman setimpal.

"Dalam kes ini, syarikat itu gagal memberikan latihan sepatutnya sehingga menyebabkan kemalangan maut.

“Dengan satu hukuman setimpal dapat memberikan pengajaran kepada majikan lain agar tidak mengambil mudah akan keselamatan pekerja pada masa akan datang," katanya.