X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Cuepacs sokong cadangan penjawat awam wajib vaksin Covid-19

Adnan Mat
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyokong cadangan mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 terhadap penjawat awam kecuali bagi mereka yang benar-benar mempunyai alasan kukuh.

Presidennya, Adnan Mat berkata, kerajaan perlu mengambil langkah yang lebih kehadapan berdasarkan peraturan semasa sedia ada bagi memastikan keseluruhan penjawat awam mengambil vaksin.

Menurutnya, segala usaha dan kempen kesedaran pengambilan vaksin Covid-19 telah dilakukan kerajaan dan sepatutnya masyarakat sudah jelas tentang kepentingan serta kebaikannya.

“Cuepacs sendiri sebelum ini telah mencadangkan agar kerajaan mengeluarkan pekeliling khusus untuk penjawat awam yang masih tidak mengambil vaksin dengan menjelaskan tindakan dan pendekatan boleh dilakukan terhadap mereka.

“Penjawat awam selaku jentera pentadbiran yang melaksanakan segala dasar dan polisi negara sewajarnya menjadi kumpulan pertama yang menjayakan aspirasi kerajaan.

“Bagaimanapun tanpa pekeliling khusus mengenai isu pengambilan vaksin boleh mengakibatkan usaha ini mengalami sedikit kesukaran,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, media melaporkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengemukakan cadangan berhubung tindakan yang boleh diambil terhadap penjawat awam yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19 kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Mengulas lanjut, Adnan berkata, walaupun hanya dua peratus penjawat awam yang masih belum mengambil vaksin, ia sepatutnya tidak berlaku kerana mereka adalah pelaksana dasar dan polisi kerajaan.

“Tindakan yang mahu diambil kerajaan ketika ini bukanlah bertindak untuk menghukum kerana pelbagai usaha telah dijalankan untuk meningkatkan kesedaran mereka.

“Cuepacs berharap golongan ini akur dengan arahan semasa yang dilaksanakan kerajaan sesuai dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993],” jelas beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!