Kerajaan perhalusi cadangan tingkat kadar pengeluaran i-Citra

 Kerajaan akan memperhalusi dan mengkaji secara menyeluruh mengenai cadangan untuk menaikkan had pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi kemudahan i-Citra.
Kerajaan akan memperhalusi dan mengkaji secara menyeluruh mengenai cadangan untuk menaikkan had pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi kemudahan i-Citra.
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Cadangan kenaikan had pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi kemudahan i-Citra akan diperhalusi secara menyeluruh.

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata, ia akan mengambil kira semua bentuk bantuan yang telah dan akan disalurkan oleh kerajaan.

"Pertimbangan terhadap kenaikan had pengeluaran i-Citra perlu turut mengambil kira keperluan untuk mengimbangi antara keperluan semasa dan kepentingan simpanan persaraan untuk masa hadapan.

“Ini berikutan, negara dijangka mengalami penuaan penduduk pada 10 hingga 15 tahun akan datang," katanya pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab cadangan daripada Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) agar had pengeluaran i-Citra dinaikkan dari RM5,000 ke RM10,000.

Cadangan itu adalah bersandarkan syarat supaya kerajaan turut bersungguh-sungguh memulakan usaha untuk menaikkan semula aset KWSP dengan memberi lebih banyak peluang perniagaan bagi syarikat dimilikinya.

Kemudahan i-Citra diperkenalkan selaras dengan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun 2021.

Seramai 12.6 juta ahli KWSP dibenarkan membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan dibayar sebanyak RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan.

Artikel Berkaitan:

Perlaksanaan itu menjadi inisiatif jangka masa pendek bagi membantu ahli yang terkesan dengan keadaan ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menyentuh mengenai pengecualian bayaran faedah moratorium selama tiga bulan, Yamani berkata, perkara berkenaan masih dalam perbincangan dengan institusi perbankan kerana ia membabitkan keputusan komersil di antara pihak bank, lembaga pengarah dan pemegang saham mereka.

"Namun satu keputusan akan diusahakan yang setara dengan mengambil kira kesan jangka masa panjang terhadap peminjam, pendeposit, pelabur, institusi kewangan dan ekonomi negara," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan dijangka membentangkan cadangan di Dewan Rakyat bagi meningkatkan siling perbelanjaan Kumpulan Wang Covid-19 sehingga RM110 bilion pada Disember ini.