X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Banjir: Lima PPS dibuka di Kuala Selangor

Beberapa kawasan rumah penduduk dinaiki air dalam kejadian banjir di Kuala Selangor sejak Sabtu lalu.
A
A

KUALA SELANGOR - Sebanyak lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di daerah Kuala Selangor berikutan banjir melanda beberapa kawasan di daerah itu sejak Sabtu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Selangor, Mohd Faizal Abdul Raji berkata, lima PPS itu ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang, Bestari Jaya; SK Parit Mahang, Ijok; SK Pasangan, Bestari Jaya; SK Sultan Abdul Aziz Shah, Bestari Jaya dan SK Bukit Belimbing, Kuala Selangor.

Menurut beliau, jumlah mangsa banjir keseluruhan di daerah itu ialah 191 mangsa daripada 61 keluarga.

"Agensi terlibat bagi membantu operasi pemindahan dan PPS ialah Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor, Majlis Perbandaran Kuala Selangor, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Selangor, polis dan bomba.

"Agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Selangor, Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Mohd Faizal berkata, PPS di SK Rantau Panjang menempatkan seramai 90 mangsa daripada 27 keluarga mula beroperasi pada Ahad.

Katanya, kejadian banjir berlaku di Jalan Rantau Panjang pada jam 5.30 pagi, bagaimanapun paras air telah surut sepenuhnya pada jam 12 tengah hari dan PPS ditutup pada hari ini (Rabu)," katanya.

Katanya, PPS SK Parit Mahang pula dibuka pada Isnin sehingga kini membabitkan seramai tujuh mangsa daripada empat keluarga.

"Kejadian membabitkan Jalan Bahagia, Parit Mahang dan kita dapati paras air masih belum surut," jelas beliau.

Beliau memberitahu, PPS SK Pasangan pula menempatkan seramai 49 mangsa daripada 16 keluarga.

"Kejadian air melimpah berlaku pada jam 9.30 pagi Selasa dan sehingga kini semua mangsa masih berada di PPS berikutan air belum surut," ujarnya.

Selain itu, katanya, dua PPS dibuka ialah di SK Sultan Abdul Aziz dan SK Bukit Belimbing disebabkan banjir di Kampung Kuantan.

"SK Sultan Abdul Aziz dibuka pada jam 9 malam Selasa menempatkan seramai 25 mangsa dan 11 keluarga.

"PPS paling terbaharu dibuka ialah di SK Bukit Belimbing yang mula beroperasi jam 12.47 pagi Rabu.

"PPS ini membabitkan seramai 20 mangsa daripada tiga keluarga di Kampung Rangkaian Lubuk Jaya dan pemantauan mendapati paras air masih belum surut dan PPS masih dibuka," katanya.

Dalam pada itu, katanya, semua fasiliti PPS telah disanitasi oleh pihak bomba sebelum semua mangsa banjir yang terlibat dipindahkan.

"Kit bencana banjir telah diserahkan kepada semua mangsa yang terjejas," jelas beliau.

Katanya, dalam tempoh Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), semua mangsa banjir telah menjalani ujian saringan awal simptom Covid-19 dan pemeriksaan MySejahtera sebelum memasuki PPS.

"Semua agensi yang terlibat juga sentiasa memastikan mangsa dan petugas mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa dalam menguruskan bencana ini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!